Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives May 24, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sepak takraw mampu ulangi kejayaan di Sukan Asia Jepun 2026

PASUKANsepak takraw negara mampu mengulangi kejayaan sama dalam temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya Jepun 2026 selepas menang berganda dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau yakin skuad sepak takraw negara akan meneruskan momentum kemenangan pada kejohanan akan datang selepas berjaya menundukkan Thailand.

“Sudah tentu saya percaya keyakinan dalam pasukan Malaysia itu sudah wujud semalam (selepas menang berganda dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024) apabila mereka dapat menewaskan Thailand.

“Saya juga percaya pada Sukan Asia (Aichi-Nagoya) di Jepun nanti semangat mereka akan lebih bertambah untuk pergi (jauh),” katanya ditemui pada Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan USJ 12 di Kompleks Sukan Negara di Seksyen 21, di sini pada Khamis.

Pada Rabu, skuad negara berjaya menewaskan Thailand dengan keputusan 2-0 pada aksi final dalam acara double dan regu divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sekali gus menjuarai acara berkenaan.

Hannah (empat dari kiri) bersama pihak pengurusan dan penganjur Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan USJ 12 di Kompleks Sukan Negara di Seksyen 21 di sini pada Khamis.

Hannah (empat dari kiri) bersama pihak pengurusan dan penganjur Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan USJ 12 di Kompleks Sukan Negara di Seksyen 21 di sini pada Khamis.

Selain itu, tiga pemain, Farhan Adam, Syahir Roshdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) telah membuktikan prestasi mereka dengan menumbangkan regu Thailand iaitu Poramet Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) dengan hasil keputusan 15-8, 15-12.

Pada kejohanan tersebut kira-kira 3,000 penyokong hadir di Stadium Titiwangsa bagi membakar semangat pasukan Malaysia dengan kekal mendahului perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan pada set pertama.

Sementara itu, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan mengiktiraf sukan sepak takraw sebagai sukan rakyat apabila sukan itu sangat popular di kampung-kampung malah di perkampungan Orang Asli.

“Sukan ini juga tidak memerlukan pasukan yang besar, tidak memerlukan infa yang canggih dan hanya memerlukan bola takraw dan jaring,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya akan terus memperkasakan sukan berkenaan menerusi program lebih spesifik di peringkat akar umbi bagi menarik lebih ramai kanak-kanak dan anak muda bermain sukan sepak takraw.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia lepasi halangan Thailand

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara, melepasi cabaran pertama dalam Pusingan Kedua Kumpulan C Piala Asia 2024 Taldykorgan, Kazakhstan, apabila menewaskan Thailand 5-2 di Kompleks Sukan Taldykorgan, pada Khamis.

Pusingan kedua bakal menentukan dua pasukan yang layak ke pentas final sekali gus meraih tiket automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Poreč, Croatia, menyaksikan Iran halangan terakhir Malaysia.

Pengendali skuad negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi gembira dengan kemenangan menyifatkan skuad negara hanya selangkah beraksi di pentas final, sekali gus ke Piala Dunia 2025.

“Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan kemenangan yang cukup penting dan secara keseluruhan barisan kejurulatihan sangat berpuas hati dengan kemenangan ini. Namun daripada sudut permainan, terdapat kesilapan-kesilapan yang pemain perlu mengurangkannya.

“Untuk aksi terakhir pusingan kedua, kami akan bertemu pasukan Iran yang merupakan pasukan kuat dan berpengalaman bermain di Piala Dunia. Pemain pastinya akan turun bermati-matian dan memberikan segalanya bagi meraih keputusan positif.

“Persiapan sebaiknya akan dilakukan untuk memastikan Malaysia ke pentas final sekali gus layak untuk beraksi di Piala Dunia 2025,” katanya.

Dalam perlawanan itu, kapten pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyumbang dua gol berturut-turut buat pasukan negara pada minit keempat dan kesembilan selepas kelebihan pukulan sudut penalti disudahkan dengan sempurna.

Muhamad Izham Azhar mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-18, hasil satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti untuk Malaysia menutup cerita separuh masa pertama, 3-0.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya belum berputus asa’ – Azeem

“IA merupakan satu musim yang mengecewakan setakat ini, tetapi tidak mengapa kerana sudah pasti satu proses pembelajaran…”

Itu reaksi jaguh pecut negara dari Teluk Intan, Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi selepas mencatatkan 10.50 saat (s) dalam Kelayakan Pusingan Pertama Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat (NCAA) di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat pada Khamis.

“Saya belum berputus asa. Alhamdulillah, atas segala yang berlaku selama ini, bersyukur kerana masih diberikan nikmat sihat,” katanya lagi.

Catatan itu menyaksikan pemenang pingat gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022, berada dalam kedudukan keenam pada saringan keenam mengakhiri cabaran di tempat ke-32 dalam kalangan 42 peserta.

Prestasi pemegang rekod kebangsaan dengan sentuhan 10.09s tersebut sekali gus menyaksikan beliau masih perlu menunggu untuk mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebagai rekod, penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat, yang mencipta sensasi pada Kejuaraan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia perlu mencatatkan masa 10s untuk layak secara merit di Paris 2024.

Azeem menyasarkan untuk membuat penampilan sulung Olimpik di Paris tahun ini sebelum itu bertekad: “Saya akan buat yang terbaik dan selebihnya biar ALLAH yang tentukan, bismillah.”

Pemburuan slot ke Paris 2024 yang dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos akan bersambung di Kelayakan NCAA di Eugene, Orlando dari 5 hingga 8 Jun depan.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia