Zii Jia, Antonsen bertembung di suku akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia perlu melupakan seketika hubungan persahabatannya dengan bintang Denmark, Anders Antonsen apabila mereka membuat perhitungan di suku akhir Masters Malaysia, esok.

Pemain ranking ke-10 dunia itu, berkata dia menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat dirinya bertemu Antonsen yang mempunyai reputasi tinggi dengan kedudukan keempat dunia selain berjaya muncul juara Terbuka Malaysia, Januari lalu.

“Kami adalah pemain yang profesional, walaupun kami bertarung di gelanggang tetapi selepas perlawanan kami tetap kawan. Saya tidak fikir ia akan memberi kesan dalam perlawanan esok.

ADVERTISING

“Saya boleh katakan yang ia akan menjadi perlawanan yang sukar esok apatah lagi Antonsen muncul juara Terbuka Malaysia. Bukan mudah untuk mengatasi pemain seperti Antonsen, saya perlu tampil dengan prestasi terbaik.

“Saya percaya kunci kepada kemenangan esok adalah mengenai kesabaran,” kata Zii Jia ketika ditemui selepas aksi pusingan kedua, hari ini.

Zii Jia yang muncul juara Terbuka Thailand, Ahad lalu mengesahkan tiket ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran pemain India, Kiran George 21-13, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena.

Antonsen pula yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohana mara selepas mengatasi rakan senegara, Magnus Johannesen 21-12, 21-10.

Menurut Zii Jia, dia gembira apabila berjaya melangkah ke suku akhir pertamanya di laman sendiri selepas sejak kali terakhir ketika mara ke separuh akhir Masters Malaysia 2020.

Pada saingan Masters Malaysia tahun lalu, Zii Jia tersingkir di pusingan kedua.

“Dalam empat tahun terakhir, ini adalah kali pertama saya mara ke suku akhir. Jadi, saya fikir ini adalah satu pencapaian yang positif untuk saya,” katanya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke suku akhir selepas membenam cabaran rakan sepasukan, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 21-15, 21-19.

Mereka akan berdepan pasangan China yang juga pilihan ketiga, He Ji Ting-Ren Xiang Yu bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.-Berita Harian