NILAI: Pelumba muda, Muhammad Ridwan Sahrom memenangi emas acara satu kilometer (km) ujian masa pada hari terakhir Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.
Ridwan, 23, dari Johor mencatat 1.01.529 saat (s) meninggalkan pesaing terdekat, Muhammad Hafiq Mohd Jafri (Melaka) yang mencatat 1.04.079s untuk memenangi pingat perak, manakala Ahmad Safwan Ahmad Nazeri (BCR) memenangi gangsa selepas mencatat masa 1.04.167s.
“Saya sangat gembira hari ini kerana dapat melakukan catatan masa terbaik, ini pencapaian terbaik tahun ini.
“Kali ini saya meraih dua emas dan masing-masing satu perak serta gangsa. Satu pencapaian yang saya nantikan. Namun begitu semuanya ini adalah atas dorongan dan rangsangan daripada Datuk Azizulhasni dan abang (Muhammad Shah Firdaus) selain jurulatih.
“Walaupun dua hari lalu kaki saya seperti tak berada dalam keadaan baik tapi saya ketepikan untuk kayuh sampai ke penghujung kejohanan. Semalam pun saya ada rasa was-was untuk berlumba hari ini tapi, Alhamdullilah, tak sangka juga dapat emas hari ini,” kata Ridwan selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Trek Kebangsaan 2024, di Velodrom Nasional petang tadi.
Terdahulu, dalam acara sprint, Ridwan mempamerkan kayuhan bertenaga dengan catatan masa 9.929s.
Dia akui pencapaian itu adalah batu loncatan untuknya terus menyerlah pada kejohanan lain akan datang.
Sementara itu, jaguh trek berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzari Mohd Asri mengungguli kategori 500m ujian masa wanita dengan meraih pingat emas.
Pelumba Kedah itu mengetepikan saingan dari Selangor A, Yong Ang Tung yang meraih perak manakala Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan meraih gangsa.
Nurul Izzah menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat dalam persiapannya untuk menghadapi saingan lebih sengit di Olimpik Paris 2024, Julai depan.
“Walaupun masa yang saya catatkan hari ini tidak begitu baik, pencapaian ini tetap bermakna dalam persiapan menuju ke Olimpik,” kata Nurul Izzah.-Berita Harian