Pan Gon umum senarai 26 pemain

KUALA LUMPUR: Selepas Faisal Halim, Harimau Malaya turut hilang khidmat bintang muda sensasi, Arif Aiman Hanapi dan pemain naturalisasi, Romel Morales bagi menghadapi dua baki aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini, Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2021, dan Morales mengalami kecederaan.

Keadaan itu menyaksikan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon kehilangan semua penjaring gol ketika berdepan Korea Selatan dalam Piala Asia 2023, Januari lalu dengan Faisal masih menjalani rawatan selepas menjadi mangsa simbah asid.

“Beberapa pemain terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan seperti Faisal, Arif Aiman, Azam Azmi Murad dan Morales,” kata FAM.

Perkara itu dimaklumkan FAM ketika mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin ini.

Berdasarkan senarai itu, Pan Gon mengekalkan 16 daripada 24 pemain dari skuad ketika menghadapi dua perlawanan Kumpulan D kempen kelayakan menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.

Antara pemain baharu yang tersenarai termasuk penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Adib Ra’op, Feroz Baharudin, Declan Lambert, Syafiq Ahmad dan Engku Shakir Engku Yacob.

Sementara itu, 22 pemain termasuk Mohamadou Sumareh, Afiq Fazail, Nathaniel Hong Wan, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nor Azam Azih dan Luqman Hakim Shamsudin diletakkan dalam senarai bersedia jika terdapat perubahan dalam senarai 26 pemain itu.

Kem latihan pusat itu bagi persediaan menghadapi dua aksi wajib menang dalam Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di Bishkek, 6 Jun depan dan melayan kunjungan Taiwan di Bukit Jalil, lima hari kemudian.

Harimau Malaya yang tewas dua aksi menentang Oman pada Mac lalu berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang menghuni kedudukan dua teratas.

Senarai 26 pemain skuad kebangsaan

1. Ahmad Syihan Hazmi Mohamed

2. Matthew Davies

3. Muhamad Feroz Baharudin

4. Shahrul Saad

5. La’vere Corbin Ong

6. Endrick Dos Santos

7. Muhammad Azri Ghani

8. Declan Lambert

9. Brendan Gan

10. Paulo Josue

11. Haqimi Azim Rosli

12. Dominic Tan

13. Daniel Ting

14. Stuart Wilkin

15. Darren Lok

16. Safawi Rasid

17. Akhyar Rashid

18. Safwan Mazlan

19. Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob

20. Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman

21. Syamer Kutty Abba

22. Adib Ra’op

23. Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi

24. Syafiq Ahmad

25. Nooa Laine

26. Dion Cools

-Berita Harian