Malaysia tepati jangkaan atasi Brunei

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, skuad sepak takraw negara tidak berdepan masalah menewaskan Brunei 3-0 pada aksi pertama Kumpulan C acara berpasukan Piala Dunia 2024, hari ini.

Masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran berganda dalam acara double dan regu, semalam, ketiga-tiga regu negara yang beraksi hari ini masih mampu mengekalkan momentum untuk menudukkan lawan masing-masing.

Perejam negara, Muhammad Shahalril Aiman Halim berkata, ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun menurunkan kesemua pemain dalam perlawanan pertama bagi memastikan mereka dalam keadaan bersedia menghadapi aksi seterusnya.

“Alhamdulillah, kita meraih kemenangan dalam perlawanan pertama, kami tidak memandang mudah pertemuan dengan Brunei dan semua pemain memberikan komitmen 100 peratus.

“Selepas ini, kami akan fokus untuk aksi kedua menentang Jepun. Selepas pasukan menang acara beregu dan regu semalam, kami mahu meneruskan momentum dalam acara berpasukan pula,” kata Shahalril.

Terdahulu, regu A dibarisi Haziq Hairul Nizam, Amirul Zazwan Amir dan Baihakki Aripin menyumbang mata pertama selepas mengatasi trio Brunei, Mohammad Hafizzuddin Jamaludin, Mohammad Aliffudin Jamaludin dan Humaidi Brahim 15-11, 15-7.

Skuad negara semakin selesa di depan apabila trio Zarif Marican Ibrahim Marican, Zaim Razali dan Shahalril Aiman meraih mata kedua menerusi kemenangan ke atas Muhammad Azri Awang Abdul Harith, Aiman Rosdiman dan Muhammad Basyiruddin Haji Kamis 15-7, 15-9.

Regu C, Zuhri Zain, Farhan Adam dan Azlan Alias memastikan kemenangan sempurna buat skuad negara apabila tidak menundukkan Abdul Muiz Nordin, Mohammad Efiezul Haqim Murah dan Suhaldy Suhaini 15-6, 15-5.

Malaysia seterusnya dijadual menentang Jepun yang juga aksi terakhir kumpulan, malam esok.-Berita Harian