Lompatan emas bawa Nazmi ke Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Tuah kali pertama berjaya membawa atlet olahraga para negara, Nazmi Nasri layak secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe Jepun, hari ini.

Nazmi yang membuat kemunculan sulung di kejohanan berprestij itu cemerlang apabila mengungguli saingan lompat jauh T37 (cerebral palsy) dengan catatan 6.13 meter (m) yang juga menjadi rekod peribadi terbaiknya.

“Saya sangat gembira, sebab kali pertama menyertai kejohanan tahap dunia dan kali pertama menang emas, serta kali pertama melayakkan diri ke Paralimpik,” kata Nazmi yang sebelum ini mencatat lompatan terbaik 5.74m di Kejohanan Olahraga All Comers di Bukit Jalil Februari lalu.

Atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu mengetepikan wakil Greece, Konstantinos Kamaras yang meraih tempat kedua dengan lompatan 6.01m, manakala gangsa milik Mateus Evangelista Cardoso dari Brazil selepas melakukan 6.00m.

“Saya memang mensasarkan untuk melakukan catatan terbaik pada lompatan pertama. Bagi lompatan seterusnya saya cuba buat lebih jauh namun tidak dapat. Mungkin disebabkan saya sedikit letih.

“Persaingan kali ini agak mencabar sebab kita berlawan dengan negara-negara berkelas dunia, namun ia bukan penghalang untuk saya berentap. Saya buat sehabis baik, yang penting diri sendri perlu mengawal mental, fokus pada sasaran,” katanya yang memenangi pingat emas Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2022 dengan catatan 5.68m.

Dia yang meraih perak di Sukan Para Asean Kemboja tahun lalu menyertai dua jaguh negara – Ziyad Zolkefli (lonta peluru F20) dan Datuk Latif Romly (lompat jauh F20) ke Paralimpik Paris 2024.

Turut mengesahkan tempat ke temasya berkenaan adalah atlet lari pecut, Eddy Bernard menerusi acara 100m T44.-Berita Harian