KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui lega selepas berjaya mengelak daripada tewas di pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.
Pemain ranking ke-10 dunia itu mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi wakil China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 21-14 pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil.
Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Thailand di Bangkok, Ahad lalu, Zii Jia, berkata dia tidak rela kecundang sekali lagi pada pusingan awal di laman sendiri.
Katanya, kejayaan di Bangkok banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan dan semangatnya.
“Saya sangat gembira kerana berjaya memenangi perlawanan hari ini biarpun saya tewas di set pertama. Jun Peng adalah lawan yang sukar dan pernah menewaskan saya sebelum ini, sudah tentu saya gembira dapat menewaskannya.
“Seperti yang saya katakan, keyakinan yang ditemui di Thailand sangat membantu saya mengatasi kekecewaan tewas di pusingan pertama.
“Secara jujurnya, saya terfikir takkanlah kalah di pusingan pertama lagi. Saya gembira saya dapat menampilkan persembahan terbaik saya di set kedua dan ketiga untuk memenangi perlawanan,” kata Zii Jia selepas tamat perlawanan.
Zii Jia yang tidak pernah melepasi pusingan kedua dalam kejohanan itu sejak mara ke separuh akhir pada edisi 2020 akan bertemu pemain India, Kiran George bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
“Kiran adalah pemain yang sedang meningkat naik. Saya perlu berwaspada dengan pemain sepertinya yang tidak ada sebarang tekanan, tidak gentar dan akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan.
“Ini adalah cabaran yang perlu saya harungi. Saya harap boleh kekalkan momentum,” katanya.-Berita Harian