KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan kedua Masters Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun, pasangan nombor empat dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan gandingan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 21-18, 22-20 pada pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil.
Wooi Yik mengakui, mereka melakukan banyak kesilapan mudah dalam perlawanan itu, terutamanya di set pertama sehingga membolehkan lawan mendapat kelebihan sebelum mencatat kemenangan 21-18.
“Bagi saya, mereka tidak banyak memberikan tekanan kepada kami, cuma kesilapan sendiri yang menyebabkan kami berada dalam keadaan tertekan. Saya juga fikir kami tidak bermain baik hari ini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, Aaron berkata tekanan yang dihadapi ketika berada dalam situasi mata penting mampu menjadi latihan terbaik untuk mereka menguatkan mental menjelang perlawanan seterusnya.
“Berdepan situasi genting seperti ini sebenarnya sangat baik untuk kita. Apabila ia sentiasa berlaku, sudah tentu keadaan itu akan menjadi kebiasaan, jadi sudah tidak tertekan lagi,” katanya.
Aaron-Wooi Yik akan berdepan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.-Berita Harian