Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Aisyah teruja berlatih di Belgium

NILAI: Pelumba berbasikal wanita lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengakui sudah bersedia untuk memulakan fasa terakhir persiapannya dengan menjalani latihan di Belgium bagi menghadapi saingan di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata, dia sangat teruja untuk menjalani latihan di Belgium bermula minggu depan, yang diharapkan akan mampu membantunya meningkatkan lagi tahap prestasi sebelum bersaing di Olimpik.

“Tak sabar rasanya untuk memulakan latihan di Belgium kerana ia kali pertama, selama ini hanya lihat di televisyen dan sebelum ini saya hanya berlatih atau berlumba di negara-negara Asia atau Asean seperti Vietnam, Thailand dan beberapa negara lain.

“Untuk itu, saya amat mengharapkan latihan di Belgium kerana nak rasa suasana latihan dan juga perlumbaan di sana, di sana banyak guna kekuatan yang tinggi, jadi saya perlukan suasana sebegitu untuk bantu tingkatkan prestasi.

“Saya perlu dapatkan beberapa elemen lain yang boleh membantu dalam perlumbaan seperti soal ketahanan, kelajuan, teknik perlumbaan dan tempoh kerana saya perlu buktikan tahap kemampuan sebenar sebelum bersaing di Paris nanti,” katanya di Velodrom Nasional, di sini.

Nur Aisyah tampil mewakili Terengganu dalam Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Velodrom Nasional, bermula hari ini hingga Khamis ini.

Dalam pada itu, Nur Aisyah berkata persiapan latihannya setakat ini berjalan lancar selepas menerima basikal baharu sumbangan Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Cheah Ing Shern serta kelengkapan baharu lain daripada Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Nur Aisyah dijadual berlepas ke Belgium pada 25 Mei ini sebagai persiapan terakhir sebelum temasya Paris 2024 membuka tirainya secara rasmi 26 Julai nanti dengan pelumba berusia 27 tahun itu turut dijadual akan menyertai kira-kira 20 kejohanan pemanas badan di Eropah.-Berita Harian