Tang Jie-Ee Wei dicabar jadi juara Masters Malaysia

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto melontarkan cabaran kepada anak didiknya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk berusaha merangkul gelaran juara di Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei ini.

Nova, berkata selaku pilihan pertama kejohanan dan tanpa kehadiran pasangan utama dunia, gandingan nombor sembilan dunia itu seharusnya memanfaatkan peluang untuk muncul juara.

Katanya, kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu juga dianggap sebagai medan untuk menguji kekuatan mental Tang Jie-Ee Wei dalam persiapan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menyerlahkan potensi mereka untuk menjadi pencabar utama di temasya terbesar dunia itu.

“Berdasarkan kedudukan selaku pilihan pertama, seharusnya mereka perlu manfaatkan peluang ini (untuk muncul juara). Ini adalah ujian untuk menguji kekuatan mental mereka sebelum Olimpik.

“Ia tidak mudah apatah lagi bermain di laman sendiri. Nampak macam boleh tetapi kadang-kadang apabila tidak dapat bermain dengan baik, ia boleh membuatkan mereka gementar dan beri kesan kepada permainan mereka.

“Jadi, ini ujian paling berat untuk mereka sebelum ke Olimpik dan saya harap boleh atasi ini,” kata Nova yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama pasangannya, Liliyana Natsri.

Tang Jie-Ee Wei akan membuka tirai saingan Masters Malaysia menentang pasangan ranking ke-46 dunia dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong di pusingan pertama.

Pada edisi tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam pertarungan tiga set.

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara Masters Malaysia dalam acara beregu campuran adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.

Dalam pada itu, selain mengharapkan Tang Jie-Ee Wei merangkul gelaran juara di Masters Malaysia, Nova juga mahu melihat gandingan itu menunjukkan perwatakan yang positif di dalam gelanggang.

“Saya mahu tengok perwatakan mereka di dalam gelanggang. Kadang-kadang apabila mereka sudah mendahului dan lawan mula mengejar, mereka hilang fokus dan tidak boleh bermain.

“Jadi, itu yang saya mahu tengok, adakah mereka masih seperti itu atau ada sudah ada perubahan,” katanya.-Berita Harian