KUCHING: Sarawak sebagai tuan rumah Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 telah melaksanakan beberapa strategi dan langkah-langkah untuk merampas gelaran juara yang diungguli Sabah pada edisi lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebagai tuan rumah Para SUKMA kali ini, Sarawak antara lain tidak akan membatalkan mana-mana acara yang dipertandingkan pada saat akhir.
Beliau berkata, Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur telah menyaksikan beberapa acara dibatalkan berikutan ada atlet yang menarik diri, menyebabkan kontinjen Para SUKMA Sarawak kehilangan pingat emas yang berpotensi dimenangi pada temasya itu.
“Sebelum ini, di bawah peraturan penyertaan, setiap acara memerlukan penglibatan tiga negeri dan tiga atlet dan kegagalan untuk memenuhi syarat ini menyebabkan pembatalan acara.
“Kali ini (Para SUKMA 2024), peraturan telah dipinda kepada dua negeri dan empat atlet untuk memberi peluang lebih besar kepada atlet kita untuk menang,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei 2024, sambutan Hari Raya dan Pra-Gawai 2024 di sebuah hotel di sini, malam Selasa.
Selain strategi tersebut Fatimah berkata, kursus klasifikasi anjuran Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga telah diadakan di Kuala Lumpur dari 19 hingga 21 April lalu untuk mengatasi masalah klasifikasi bagi atlet paralimpik pada temasya Para SUKMA 2024.
Ia katanya, untuk membantu pengelas memperoleh ilmu dan kemahiran dalam proses klasifikasi bagi memudahkan proses tersebut dijalankan di negeri masing-masing sebelum temasya Sukan Para SUKMA 2024 bermula.
“Kita mahu memastikan semasa temasya berlangsung, tiada atlet yang tidak kesampaian untuk bertanding, jadi kita mahu klasifikasi dilakukan terlebih dahulu di negeri masing-masing sebelum tiba di Sarawak,” jelasnya.
Fatimah menambah, dalam usaha merampas kembali kejuaraan, Sarawak berhasrat menyertai hampir kesemua acara sukan semasa temasya tersebut berlangsung bagi memaksimumkan peluang meraih pingat.
“Dari segi atlet, kita telah menghantar para atlet kita ke luar negara dan mendedahkan mereka kepada pertandingan di luar Sarawak sebagai sebahagian daripada persiapan.
“Dalam proses itu juga, kita tidak mengabaikan peranan penting jurulatih yang berkebolehan dalam melahirkan atlet menjadi terbaik, di samping mengiktiraf sokongan penting diberikan oleh ibu bapa dalam mengejar kemenangan mereka,” katanya.
Di samping menyediakan peralatan sukan berkualiti tinggi, Fatimah mendedahkan atlet menerima elaun daripada kerajaan negeri semasa sesi latihan, sekali gus mengurangkan beban kewangan dan membolehkan atlet memberi lebih tumpuan kepada persiapan serta seterusnya berupaya menggalas pingat pada temasya Para SUKMA 2024.-Utusan Borneo