Piala Sultan Azlan Shah beri bayangan awal

JEPUN, juara baharu Piala Sultan Azlan Shah dan naib juara Pakistan memberi laungan awal bakal menjadi antara pasukan digeruni pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas memperagakan potensi pada kejohanan jemputan enam negara di Stadium Hoki Azlan Shah,

Skuad Speedy Tigers kendalian Sarjit Singh sejak awal Mac lalu berdepan banyak cabaran perlu ditempuhi untuk mencabar pingat emas Sukan Asia dan mengesahkan kelayakan awal ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik.

Edisi ke-30 berakhir semalam sejak 4 Mei lalu menjadi medan pendedahan dan ujian bakat baharu bagi Malaysia, Jepun Pakistan, Korea Selatan, New Zealand dan Kanada membina skuad mantap untuk kitaran Olimpik seterusnya.

Piala Sultan Azlan Shah memberikan petunjuk awal Sukan Asia (Asiad) 2026 yang menampilkan kuasa hoki utama Asia – Korea Selatan, ranking ke-12 dunia, Malaysia (13), Jepun (15) dan Pakistan (16) melainkan juara Asia India dan wakil tunggal benua Asia yang memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Jepun muncul sebagai pasukan harus diberi perhatian pada Asiad 2026, bukan sahaja sebagai negara tuan rumah tetapi juga kerana persembahan mereka yang memberangsangkan sepanjang Piala Sultan Azlan Shah.

Pengendali Jepun, Yoshihiro Anai, 36, tiba di Ipoh dengan pasukan muda dengan hanya empat pemain memiliki lebih 100 kaps dan tiga melakukan penampilan antarabangsa pertama di kejohanan tersebut dengan purata pemain dalam skuad 18 pemain berusia 24 hingga 17 tahun.

Walaupun kurang pengalaman, Jepun membuktikan status mereka sebagai ‘kuda hitam’ apabila merungkai prinsip rahsia Samurai untuk meraih gelaran sulung dengan mengejutkan Pakistan 4-1 menerusi penalti ‘shoot-out’ selepas aksi final berkesudahan 2-2 semalam.

Corak permainan teratur dan benteng pertahanan kebal memberikan cabaran menggerunkan kepada lawan dengan hanya memboloskan tujuh gol sepanjang kejohanan sehingga ke final dan rekod tanpa kalah di liga sepusingan.-Sinar Harian