Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 29, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiga atlet diberi kebebasan pilih Sarawak atau Peru?

SEPANG: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi kebebasan kepada tiga atlet muda kebangsaan, untuk memilih sama ada mewakili negeri masing-masing ke Sukan Malaysia (SUKMA) atau menyahut cabaran negara pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun (B-20) 2024.

Pengarah Teknikal KOM Robert Ballard berkata hal ini kerana tarikh bagi kedua-dua kejohanan itu bertindih iaitu SUKMA akan diadakan pada 17 hingga 24 Ogos di Sarawak, manakala Kejohanan Olahraga Dunia B-20 dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 31 Ogos di Lima, Peru.

Beliau berkata badan induk itu menghormati sebarang keputusan oleh persatuan negeri dan atlet itu sendiri, namun Ballard berharap mereka dapat membuat keputusan muktamad secepat mungkin sebelum 4 Ogos ini.

“Bukan tugas KOM membuat keputusan untuk atlet, kami tidak akan memaksa mereka untuk menyertai mana-mana kejohanan. Atlet akan duduk berbincang dengan persatuan negeri dan jurulatih masing-masing, sama ada ingin bersaing dalam SUKMA atau pergi ke Peru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan atlet yang menyertai Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Emiriah Arab Bersatu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Skuad olahraga berjaya membawa pulang dua pingat gangsa melalui Ng Tak Sik (lompat kijang) dan Pengiran Aidil Auf Hajam (200 meter) yang menyaksikan mereka layak secara merit ke Peru, di samping Hanssen Yap Soo yang merekodkan 10.41 saat dalam acara 100 meter.

Pengiran Aidil dan Hanssen diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri Sabah, manakala Tak Sing di bawah jagaan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.

Mengulas mengenai kejayaan Kejohanan Olahraga Asia B-20, Ballard berkata beliau berbangga dengan prestasi cemerlang dipamerkan atlet kerana mereka berada dalam kumpulan pembangunan remaja yang tidak menetapkan sebarang sasaran dalam kejohanan berkenaan.

“Tiga atlet mencapai standard minimum untuk bawah 20 tahun dunia, jadi ia pencapaian hebat buat kami dan satu langkah ke hadapan yang baik, kami harap lebih ramai akan layak ke saingan bawah 20 tahun dunia, kejohanan seterusnya adalah di Hong Kong pada 2026,” katanya. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pelantikan dua Ahli Lembaga Pengurusan MSN yang baharu bagi penggal bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2026

KUALA LUMPUR (29 April) – Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengumumkan pelantikan dua Ahli Lembaga Pengurusan MSN yang baharu bagi penggal bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2026.

Muka baharu pertama ialah bekas pemain hoki negara yang pernah beraksi di temasya Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Encik Suriaghandi Suppiah yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Transformasi dan juga bekas Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, KPJ Healthcare Berhad. Sebelum itu, beliau pernah memegang jawatan kanan di beberapa syarikat besar. Antaranya ialah Khazanah Nasional Berhad, Parkway Group Healthcare di Singapura, Kumpulan Hospital Pantai, Salcon Green Energy di UK dan Shell Malaysia Retail Real Estate.

Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada University of Chicago Booth School of Business itu menggantikan Puan Nurul Huda Abdullah yang akan memikul peranan baharu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selamat, Kementerian Belia dan Sukan.

Seorang lagi muka baharu dalam Lembaga Pengurusan MSN ialah wakil Kementerian Kewangan iaitu Puan Hazlina Ab Aziz menggantikan Encik Idwan Ariff Abdul Rahman yang telah memberikan sumbangan bagi tiga penggal yang lepas.

Ahli-Ahli Lembaga Pengurusan MSN lainnya terus diberikan kepercayaan untuk penggal terbaru ini.

Antara beberapa keputusan penting diputuskan Lembaga Pengurusan MSN sepanjang tempoh penggal dua tahun berakhir 30 April 2024 ialah seperti berikut:

a) penubuhan Projek Road to Gold (RTG), yang memberi fokus memenangi pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik, baik pada tahun ini mahupun untuk edisi temasya pada tahun 2028;

b) memperkenalkan Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang menukar bayaran elaun kepada bayaran gaji dengan imbuhan tambahan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso);

c) kajian semula Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) yang lebih baik kepada semua jurulatih di bawah program MSN;

d) memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman bersama Nippon Sport Science University (NSSU) pada 13 Februari 2023 bagi membantu dalam kecemerlangan sukan prestasi tinggi negara;

e) mewajibkan pegawai pengiring kepada atlet Para yang menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.

CAWANGAN KOMUNIKASI KORPORAT

MAJLIS SUKAN NEGARA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hak persatuan sukan tentukan gaji kepada pemegang jawatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) mempunyai hak menentukan sama ada mahu memperuntukkan gaji untuk individu yang memegang jawatan terutamanya presiden.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkara itu tidak berada di bawah bidang kuasa menteri untuk masuk campur dan ia terpulang kepada pihak PSK untuk mengendalikan urusan kewangan masing-masing.

“Terpulang kepada kemampuan setiap persatuan sukan kerana setiap persatuan sukan ada komitmen dan tanggungjawab yang berbeza. Ada yang sepenuh masa (memegang jawatan presiden), ada separuh masa dan ada juga secara sukarela.

“Jadi ini bukan di bawah bidang kuasa menteri, yang ini bagi persatuan sukan untuk kendalikan kewangan mereka sendiri,” kata Hannah kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan ‘Play Ture Day’ dan sesi ramah mesra menteri bersama warga kementerian dan pemegang taruh utama KBS, di Arena Axiata, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin didakwa menerima gaji mencecah sehingga RM90,000 sebulan dan itu tidak termasuk elaun daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Hamidin bagaimanapun menganggap dakwaan terhadap gaji berkenaan sebagai satu isu peribadi.

Hamidin turut menegaskan yang statusnya sebagai presiden adalah secara sepenuh masa dan menerima beberapa faedah sudah ditetapkan ketika dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad negara terkandas di peringkat kumpulan

KUALA LUMPUR: Perjuangan skuad negara di Piala Uber 2024 terhenti di peringkat Kumpulan B apabila tunduk 0-5 kepada Thailand, sebentar tadi.

Ia kekalahan kedua yang dialami kem negara selepas tewas 1-4 kepada Taiwan dalam aksi sulung yang berlangsung, semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Chengdu, China itu, pemain perseorangan pertama negara, K Letshanaa tewas 17-21, 6-21 kepada pemain ranking 16 dunia, Supanida Katethong dalam tempoh 31 minit.

Gandingan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing berusaha untuk menyamakan kedudukan, namun terpaksa akur tunduk 10-21, 14-21 kepada Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Impian skuad negara untuk bangkit tidak kesampaian selepas perseorangan kedua, Wong Ling Ching juga mengalami kekalahan apabila tewas 11-21, 15-21 kepada Pornpawee Chochuwong.

Pasangan beregu negara, Chan Wen Tse-Tan Zhing Yi juga mengalami nasib sama apabila tewas kepada gandingan Laksika Kanlaha-Phataimas Muenwong 12-21, 8-21.

Sementara itu, Siti Nurshuhaini Azman yang turun beraksi buat kali pertama sebagai perseorangan ketiga pada Piala Uber kali ini tewas mudah 5-21, 8-21 kepada pemain nombor 20 dunia, Busanan Ongbamrungphan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MARRAKECH 2024 WORLD PARA ATHLETICS GRAND PRIX

Tarikh : 21 – 29 April 2024

Tempat : MARRAKECH, MORROCO

Acara : 200M Men T12

Emas : Babatunde (NGR) – 23.31s

Perak : Muhamad Afiq (MAS) – 23:63s

Gangsa : Mphatso (MAW) – 24.54s

Acara : 400M MEN T13/T20

Emas : Muhamad Ammar , T20 (MAS) – 49.09s

Perak : Ching Hei , T20 (HKG) – 54.78s

Gangsa : Moses Misoya T13 (MAW) – 58.23s

Acara : 400M MEN T35/T37/T48

Keputusan :

Emas : Amen Allah T37 (TUN) – 52.28s

Perak : Muhamad Faiz Haizat T37 (MAS) – 56.52s

Gangsa : Kuldeep Singh T37 (IND) – 58.05s

Acara : 400M MEN T36

Emas : Zakaria Najah (MAR) – 56.38s

Perak : Ahmad Fizzi (MAS) – 59.01s

Gangsa : Yousef Zakary (MAR) – 1.01.19s

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Shazrin mungkin kempunan ke Paris

SEPANG: Atlet pelayaran negara Nur Shazrin Mohamad Latif kemungkinan ‘terpaksa’ melupakan penampilan kali ketiganya di Sukan Olimpik Paris 2024 berikutan kecederaan pada tangan kanannya ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis baru-baru ini.

Atlet berusia 26 tahun itu memberi bayangan tidak akan bersama kontinjen negara sekiranya tiada ‘lampu hijau’ diberikan oleh pasukan perubatan berikutan tiga jarinya iaitu jari tengah, manis dan kelengkeng tidak dapat digunakan dengan baik.

Menurut Nur Shazrin, ini merupakan kecederaan kali kedua selepas Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Saya ada (sakit) ligamen (dan) saraf tersepit. Lepas suntikan pun (tidak baik). Jadi balik baru jumpa doktor. Kali pertama dulu siku, kemudian pergelangan tangan dan sekarang melarat tiga jari, jadi tak boleh nak genggam dan kebas.

“Sudah tentu ia ganggu (sebab) tangan kanan dan kali ini setiap hari kekuatan angin 25 knot, jadi agak bergelut dengan tangan (sampai) tiga hari. Hari keempat tak boleh guna (sebab) tak boleh nak genggam,” katanya kepada pemberita selepas pulang dari kejohanan di Perancis itu, hari ini.

Menurut atlet kelahiran Johor itu, pemeriksaan lanjut akan dijalankan selewat-lewatnya pada 17 atau 20 Mei ini.

Beliau yang mengutamakan kesihatan diri pasrah jika terpaksa melepaskan peluang ke Paris, namun berjanji akan kembali lebih bersemangat untuk memburu slot ke temasya di Los Angeles 2028.

Terdahulu, Nur Shazrin mengesahkan tiket ke Paris 2024 selepas meraih pingat emas di China dalam kategori Handed Dinghy ILCA 6.

Untuk rekod, Nur Shazrin menduduki tempat ke-33 pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Rio 2016 dan tempat ke-26 di Tokyo 2020. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Betul ke aku sudah jadi juara dunia?

SEPANG: Atlet boling pada negara Nor Farah Ain Abdullah masih tidak percaya sudah bergelar juara dunia pada penampilan sulungnya di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada Sabtu.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata kemenangan mudah dalam acara perseorangan wanita 6-2, 6-3 mengatasi lawan dari Malta Connie Rixon menyemarakkan lagi semangatnya untuk memikul tanggungjawab lebih besar pada kejohanan akan datang.

“Kali pertama mewakili negara dalam kejohanan yang berprestij dan saya rasa macam mimpi lagi walaupun sudah menang dan pegang pingat emas. Macam betul ke aku sudah jadi juara?

“Di sana, bukan calang-calang lawan kita tetapi saya tanamkan dalam fikiran, main saja. Ada rezeki, adalah. Yang penting buat terbaik dan alhamdulillah saya dapat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLI) di sini hari ini.

Terdahulu, Nor Farah Ain membantu skuad negara meraih gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple, yang turut menyumbang pingat perak acara perseorangan lelaki.

Pada edisi kali ini, Malaysia meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa sekali gus muncul juara keseluruhan kejohanan itu.

Sementara itu, Izzat Shameer berkata walaupun melalui ‘drama’ kehilangan beg di lapangan terbang setibanya di Guernsey dan hanya menjumpainya selepas tiga hari, namun ia satu pengalaman baharu dan tidak mematahkan semangatnya.

“Hari pertama (latihan) sebenarnya memang agak bergelut sebab bola mereka sediakan jauh berbeza. Bola kita garisan kecil sikit tapi bola disediakan agak garisan besar jadi bila dapat bola sendiri baru rasa yakin,” katanya.

Izzat Shameer yang pernah membuat penampilan sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2023 dan hanya mara ke suku akhir, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila penampilan kali ketiga telah membuahkan hasil. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia