SUDAH tiba masanya sukan Muay Thai diperkasa bagi melahirkan lebih ramai jaguh berkualiti untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa.
Jurulatih Kelab Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohamad Ridhwan Mat Zain berkata, biarpun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memainkan peranan mereka, namun ia belum mencukupi.
Beliau berkata, penglibatan lebih aktif dan mantap perlu disepadu melibatkan semua persatuan Muay Thai negeri yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM).
“KBS dan MSN wajar memainkan peranan untuk memaksimumkan kegiatan persatuan Muay Thai negeri. Ada persatuan negeri yang aktif dan ada sebaliknya. Jika semua memainkan peranan pada tahap maksimum pasti ramai lagi juara dapat kita lahirkan.
“Buat masa ini apa yang saya tahu kebanyakan latihan di kelab-kelab dan bukan di bawah persatuan negeri.
“Banyak bakat baharu yang lahir adalah dari kelab-kelab persendirian dan tidak mengikut saluran yang tepat sehingga kemajuan petinju itu terbantut dan kian tenggelam. Sepatutnya bakat mereka boleh diketengahkan lagi,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Atlet Muay Thai negara, Mohd Rifdean Masdor melakar sensasi apabila menumpaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai dengan pukulan Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 di Thailand bulan lalu.
Kemenangan menakjubkan itu diraih dalam masa 1 minit 18 saat pada pusingan pertama pada aksi ONE Championship di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok.
Mohamad Ridhwan juga percaya masih ada lagi bakat terpendam yang menunggu masa untuk ‘meletup’ kerana mereka bukan sahaja mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri, tetapi memiliki ‘roh’.
“Sebagai bukti ramai jaguh kita telah menempa nama di luar negara.
Kejutan ini adalah baru sebahagian sahaja, sebab ramai lagi saya tengok bakat baharu yang amat berpotensi. Ia bukan sekadar ada bakat, tapi ada ‘jiwa,” katanya.
Justeru beliau berharap pemegang taruh dengan kerjasama PMM dan kelab-kelab Muay Thai dapat berganding bahu untuk lebih proaktif memantapkan sukan tersebut.
“Jika pihak berwajib dapat memperkasa dan membangunkan Muay Thai daripada pelbagai sudut termasuk pencarian bakat, aspek latihan dan pemberian insentif, saya percaya kita mampu menjadi negara yang digeruni di pentas dunia dalam sukan Muay Thai,” katanya.-Sinar Harian