Piala Thomas: Tze Yong digugurkan, Hon Jian isi kekosongan

[DIKEMAS KINI] NG Tze Yong disahkan tidak akan beraksi pada Piala Thomas 2024 dan kekosongan ditinggalkan naib juara Terbuka Artik 2023 itu akan digantikan dengan pemain beregu, Choong Hon Jian.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang memaklumkan keputusan berkenaan dicapai semalam setelah perbincangan mendalam bersama barisan kejurulatihan serta pengurusan.

“Kita gugurkan (Tze Yong) kerana keadaan dia tak memungkinkan untuk main, jadi kita buat keputusan dalam mesyuarat setelah berbincang.

“Kita memilih Hon Jian berdasarkan perbincangan dengan jurulatih beregu dan perseorangan selain perbincangan pihak pengurusan…kita harus melihat (keputusan) ini yang diperlukan pasukan dalam Piala Thomas,” katanya kepada pemberita di ABM Bukit Kiara di sini pada Jumaat.

Selasa lepas Rexy memaklumkan Tze Yong perlu menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) susulan kecederaan tulang belakang yang dialaminya sekali gus bagi menentukan tahap kecergasan pemain di ranking ke-18 dunia itu.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan itu pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Februari lepas dan telah menjalani pembedahan.

Rexy berkata, pemain negara ketika ini berada dalam keadaan positif untuk bertarung di China serta berharap Hon Jian, 23, akan menyertai kem latihan pusat di ABM secepat mungkin untuk mendapatkan semangat kerjasama berpasukan.

“Orang melihat bahawa pasukan kita ini seperti kelam-kabut tapi kita menunjukkan bahawa kita tetap fokus dan kem latihan ini berjalan lancar…dan saya rasa ini mungkin suatu kesempatan (untuk Hon Jian dan pasangannya Muhammad Haikal Nazri), mereka teruja (dengan) kesempatan yang diberikan,” katanya.-Sinar Harian