Program Pencarian Bakat Baru Akuatik Terjun akan diadakan pada 20 April 2024 hingga 8 Jun 2024 di seluruh Malaysia.
Sebarang pertanyaan emel kepada secgen@malaysiaaquativs.org dan imbas pada QR kod yang tertera.


[DIKEMAS KINI] NG Tze Yong disahkan tidak akan beraksi pada Piala Thomas 2024 dan kekosongan ditinggalkan naib juara Terbuka Artik 2023 itu akan digantikan dengan pemain beregu, Choong Hon Jian.
Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang memaklumkan keputusan berkenaan dicapai semalam setelah perbincangan mendalam bersama barisan kejurulatihan serta pengurusan.
“Kita gugurkan (Tze Yong) kerana keadaan dia tak memungkinkan untuk main, jadi kita buat keputusan dalam mesyuarat setelah berbincang.
“Kita memilih Hon Jian berdasarkan perbincangan dengan jurulatih beregu dan perseorangan selain perbincangan pihak pengurusan…kita harus melihat (keputusan) ini yang diperlukan pasukan dalam Piala Thomas,” katanya kepada pemberita di ABM Bukit Kiara di sini pada Jumaat.
Selasa lepas Rexy memaklumkan Tze Yong perlu menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) susulan kecederaan tulang belakang yang dialaminya sekali gus bagi menentukan tahap kecergasan pemain di ranking ke-18 dunia itu.
Tze Yong disahkan mengalami kecederaan itu pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Februari lepas dan telah menjalani pembedahan.
Rexy berkata, pemain negara ketika ini berada dalam keadaan positif untuk bertarung di China serta berharap Hon Jian, 23, akan menyertai kem latihan pusat di ABM secepat mungkin untuk mendapatkan semangat kerjasama berpasukan.
“Orang melihat bahawa pasukan kita ini seperti kelam-kabut tapi kita menunjukkan bahawa kita tetap fokus dan kem latihan ini berjalan lancar…dan saya rasa ini mungkin suatu kesempatan (untuk Hon Jian dan pasangannya Muhammad Haikal Nazri), mereka teruja (dengan) kesempatan yang diberikan,” katanya.-Sinar Harian
KERAJAAN negeri dinasihatkan untuk tidak ‘menganaktirikan’ atau menganggap agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan sukan tidak penting dalam belanjawan negeri.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu merupakan pelaburan kerajaan negeri bagi memastikan setiap atlet dapat menjalani sesi latihan di fasiliti yang dibangunkan kerajaan Persekutuan dan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diselenggara.
“Pembangunan sukan melibatkan komitmen kerajaan negeri. Kalau kita lihat untuk penglibatan dalam SUKMA (Sukan Malaysia), kalau kerajaan negeri tidak melabur dan tidak hantar atlet, maka acara boleh digugurkan daripada SUKMA sebab tidak cukup penyertaan dari negeri.
“Untuk sukan itu berjaya, ia bukan bermaksud penglibatan MSN (Majlis Sukan Negara) sahaja, tetapi melibatkan penglibatan di peringkat kerajaan negeri,” katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di sini pada Jumaat.
Hannah berkata demikian bagi mengulas pengumuman pengguguran acara futsal wanita dan terjun 10 meter platform wanita dari SUKMA ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos ini.
Pada 6 April lepas, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata, kedua-dua acara itu terpaksa digugurkan kerana kurang jumlah penyertaan.
Menurut Hannah, sokongan dan pelaburan daripada kerajaan negeri dalam sektor sukan amat diperlukan bagi membantu KBS menjayakan setiap perancangan bagi memperkasakan sektor sukan serta atlet negara. – Bernama