KUALA LUMPUR: Pemain badminton wanita negara, Teoh Mei Xing bersedia untuk memimpin skuad Piala Uber 2024 yang dijadual berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.
Mei Xing, 27, berkata, walaupun terdapat sedikit bebanan untuknya memimpin barisan pemain lebih muda namun ia dianggap sebagai satu cabaran selain menjadi motivasi terbaik untuknya mempamerkan kemampuan.
“Ini kali pertama (menjadi paling senior dalam pasukan). Ada sedikit bebanan namun saya percaya dengan kemampuan rakan sepasukan. Harap kami boleh berikan yang terbaik dan membuat penonton gembira.
“Tekanan itu sudah pastinya ada tetapi ia akan menjadi motivasi untuk saya menjadi seorang ketua yang lebih baik,” kata Mei Xing yang dalam masa sama menyatakan pasukan sudah bersedia untuk menghadapi saingan kali ini.
Selain Mei Xing, cabaran skuad negara kali ini turut disertai Goh Jin Wei, K Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Nurshuhaini Azman, Siti Zulaikha Azmi, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia dengan Malaysia dijadual membuka langkah pertama di Chengdu bertemu Taiwan.
“Saya fikir ketiga-tiga negara ini semuanya OK. Namun kami tak boleh banyak memikirkannya (mengenai lawan) dan hanya melakukan apa yang sudah kami usahakan sebelum ini.
“Untuk perlawanan bertemu Taiwan, sudah tentu pemain perseorangan mereka sangat kuat tetapi kami hanya perlu memberikan saingan dan tidak terlalu memikirkannya,” kata Mei Xing.
Untuk rekod, kali terakhir skuad wanita negara mara ke suku akhir Piala Uber adalah di Kuala Lumpur pada 2010 dengan pada ketika itu tewas di tangan Indonesia, 0-3.
“Saya fikir, tak ada yang mustahil (untuk ke suku akhir). Apa yang perlu, kami harus percaya pada diri sendiri, berikan yang terbaik dan berjuang sehingga detik terakhir,” katanya.-Berita Harian