Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Rexy elak Izzuddin-Sze Fei besar kepala

KUALA LUMPUR: Mesti konsisten!

Itu peringatan diberikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kepada beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selepas muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, semalam.

Rexy mengakui pasangan ranking ke-19 dunia itu menampilkan prestasi yang sangat baik sepanjang kejohanan tetapi mengingatkan mereka supaya tidak terlalu mudah berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

“Pencapaian mereka sangat baik sepanjang kejohanan. Cuma di set ketiga pada aksi final semalam, mereka dilihat tidak berani dan teragak-agak.

“Saya tidak mahu terlalu memuji kerana apa yang paling utama adalah mereka perlu konsisten selepas ini. Saya bimbang jika terlalu dipuji akan besar kepala,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Izzuddin-Sze Fei tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam laluan mereka ke final.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa akur dengan gelaran naib juara apabila tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada aksi final.

Dalam pada itu, Rexy percaya sekiranya Izzuddin-Sze Fei mampu menampilkan prestasi seperti yang ditunjukkan di BAC sejak awal tahun ini, mereka berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kalau dari awal tahun mereka sudah mula menunjukkan prestasi seperti ini, sudah tentu mereka layak ke Olimpik, tetapi sudah terlambat,” katanya.

Kedudukan ranking dunia Izzuddin-Sze Fei dijangka melonjak dalam kelompok 15 terbaik dunia susulan pencapaian dilakar di Ningbo itu.-Berita Harian