KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail bimbang mengenai kesiapsiagaan atlet sekiranya Malaysia menerima tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Beliau yang bersara wajib pada September lalu dan memainkan peranan dalam merangka program Jaya ’98 mengakui tempoh dua tahun sebelum temasya itu adalah singkat dalam memastikan atlet negara bersedia dan menggegar di laman sendiri.
“Dari sudut persiapan atlet, kita mungkin hadapi sedikit kekangan kerana masa yang tinggal sudah semakin singkat.
“Kita boleh menghantar ramai atlet untuk pendedahan dan sebagainya tetapi untuk mengulangi pencapaian memenangi 10 pingat emas seperti 1998 mungkin sukar,” katanya.
Terdahulu, kos menganjurkan temasya itu serta persediaan atlet jelas menjadi persoalan utama dibangkitkan selepas Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria, Australia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Tawaran itu disifatkan beliau sebagai peluang terbaik apatah lagi ia hadir dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.
Perkara berkenaan turut sudah dibentangkan kepada perhatian Kementerian Belia dan Sukan, dan Menterinya, Hannah Yeoh memaklumkan pihaknya kini dalam proses menyiapkan kertas Kabinet untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, Shapawi meminta kerajaan mempertimbangkan tawaran itu dengan teliti kerana temasya berkenaan secara amnya memerlukan kelengkapan fasiliti yang terbaik.
“Banyak faktor (perlu diambilkira) sekiranya kerajaan nak pertimbangkan tentang tawaran daripada CGF terutama dari segi peningkatan kos (dari semasa ke semasa). Kita tak pasti apa yang ditawarkan CGF itu… malah ia belum lagi dibentangkan.
“Dalam beberapa aspek penganjuran Sukan Komanwel ini, ia memerlukan tanggungjawab tuan rumah untuk sediakan fasiliti seperti Perkampungan Sukan dan semuanya… jadi sudah tentu ia membebankan. Dengan keadaan ekonomi sekarang, bagi saya ia bukanlah sesuatu yang wajar (menjadi tuan rumah),” katanya.-Berita Harian