KUCHING, 7 Mac: Kontinjen Para Sarawak berazam untuk memungut 84 pingat emas pada temasaya Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung pada 20 hingga 28 September 2024.
Chef De Mission Para Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata sebagai tuan rumah Sarawak optimis merebut gelaran juara yang diungguli Sabah pada edisi lepas.
“Kita mempunyai peranan yang sangat besar sebab Sarawak memang dikenalpasti yang mana semua tahu Sarawak telah memegang takhta kejuaraan itu sebanyak 13 kali dan kali ini kita mesti berusaha sehabis baik untuk mendapatkan kembali kejuaraan tersebut.
Mohammad Razi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Temasya Para Sukma Ke-21 di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini
Mohammad Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu memaklumkan, ketika ini kontinjen para Sukma Sarawak sedang giat dipersiapkan.
“Selain daripada itu kami sentiasa memantau kesihatan atlet, itu yang paling penting ,” katanya lagi.
Dalam pada itu Mohamad Razi berkata, Sarawak dijangka akan menurunkan seramai 240 atlet yang akan menjalani saringan pada 31 Julai depan.
“Ia akan melibatkan seramai 120 pegawai untuk Sarawak sahaja,” ujarnya lagi.
Sebanyak 10 acara sukan akan dipertandingkan pada temasya Para Sukma edisi kali ini, antaranya Para Olahraga, Para Renang, Para Badminton, Para Pingpong, Para Tenpin Boling, Boccia, Para Lawn Bowls, Para Powerlifting, Para Memanah dan Para Catur.
Setakat ini sebanyak 15 negeri seluruh Malaysia telah mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini,antaranya Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Terengganu , Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Mohammad Razi lagi, kesemua venue sukan itu nanti akan diadakan di Kuching, Sarawak.
“Setakat ini kita dalam proses penambahbaikan terutama sekali melibatkan venue-venue acara yang akan dipertandingkan,” tambahnya lagi.-TVS