Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiada salahlaku babitkan jurulatih renang para

KUALA LUMPUR: Dakwaan aduan salahlaku seksual membabitkan jurulatih para renang negara seperti yang dilaporkan media sebelum ini kini diklasifikasikan sebagai ”No Further Action’ (Tiada Tindakan Lanjut).

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan siasatan pada 26 Mac lalu dan memaklumkan kepada MSN bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut kerana tiada bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

“MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS), juga sudah menjalankan siasatan teliti, termasuklah menemubual pelbagai pihak yang berkaitan.

“Hasil penelitian hasil siasatan, MSN menerusi cadangan yang diberikan JSPS, juga mendapati tiada sebarang asas atau saksi untuk menyokong dakwaan salah laku berkenaan,” kata MSN dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MSN mengambil isu berkenaan dengan serius selain bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak dengan serta merta terhadap jurulatih yang didapati bersalah terbabit dengan isu salah laku dalam program latihan MSN.

Dengan perkembangan terbaharu ini, MSN turut memutuskan supaya jurulatih berkenaan dibenarkan kembali untuk melatih perenang para negara yang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“MSN sentiasa berusaha memastikan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian MSN dan tidak pernah memandang ringan mana-mana aduan salah laku yang dikemukakan.

“MSN juga memiliki prosedur aduan dan siasatan yang menyeluruh serta telus, termasuk keutamaan melindungi privasi dan kerahsiaan semua pihak yang terbabit dalam mana-mana siasatan yang dijalankan.

“Sehubungan itu, MSN berharap semua pihak, termasuk media massa, memahami bahawa kesejahteraan mental dan fizikal atlet-atlet para sentiasa menjadi keutamaan MSN.

“Hak dan keperluan atlet-atlet para ini perlu dijaga dan MSN sentiasa sedia mengambil tindakan perlu demi membantu menangani spekulasi dan laporan tidak tepat yang menjejaskan mereka,” tambah kenyataan itu.-Berita Harian