Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 31, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hasrat Arif-Roy King tidak kesampaian

Kuala Lumpur: Beregu muda negara Arif Junaidi-Yap Roy King terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Masters Sepanyol di Madrid apabila tumpas kepada beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di pentas final sebentar tadi.

Arif-Roy King bagaimanapun memberi tentangan sengit namun akhirnya terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-17, 19-21 dalam tempoh 52 minit.

Dalam perlawanan penuh mendebarkan itu, Arif-Roy King menunjukkan kematangan dalam permainan namun kesilapan di empat mata akhir ketika kedudukan terikat 17 sama membuatkan mereka terpaksa akur akan kekalahan itu apabila tewas di set penentuan 19-21.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan membabitkan kedua-dua beregu itu kini berpihak kepada beregu Indonesia yang menghuni ranking ke-34 dunia itu yang menang dua dari tiga pertemuan sebelum ini

Sebagai rekod, pemenang acara beregu pada kejohanan Jelajah Dunia Super 300 itu akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,419) manakala juara perseorangan bakal meraih AS$15,750 (RM74,416).-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiada salahlaku babitkan jurulatih renang para

KUALA LUMPUR: Dakwaan aduan salahlaku seksual membabitkan jurulatih para renang negara seperti yang dilaporkan media sebelum ini kini diklasifikasikan sebagai ”No Further Action’ (Tiada Tindakan Lanjut).

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan siasatan pada 26 Mac lalu dan memaklumkan kepada MSN bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut kerana tiada bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

“MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS), juga sudah menjalankan siasatan teliti, termasuklah menemubual pelbagai pihak yang berkaitan.

“Hasil penelitian hasil siasatan, MSN menerusi cadangan yang diberikan JSPS, juga mendapati tiada sebarang asas atau saksi untuk menyokong dakwaan salah laku berkenaan,” kata MSN dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MSN mengambil isu berkenaan dengan serius selain bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak dengan serta merta terhadap jurulatih yang didapati bersalah terbabit dengan isu salah laku dalam program latihan MSN.

Dengan perkembangan terbaharu ini, MSN turut memutuskan supaya jurulatih berkenaan dibenarkan kembali untuk melatih perenang para negara yang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“MSN sentiasa berusaha memastikan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian MSN dan tidak pernah memandang ringan mana-mana aduan salah laku yang dikemukakan.

“MSN juga memiliki prosedur aduan dan siasatan yang menyeluruh serta telus, termasuk keutamaan melindungi privasi dan kerahsiaan semua pihak yang terbabit dalam mana-mana siasatan yang dijalankan.

“Sehubungan itu, MSN berharap semua pihak, termasuk media massa, memahami bahawa kesejahteraan mental dan fizikal atlet-atlet para sentiasa menjadi keutamaan MSN.

“Hak dan keperluan atlet-atlet para ini perlu dijaga dan MSN sentiasa sedia mengambil tindakan perlu demi membantu menangani spekulasi dan laporan tidak tepat yang menjejaskan mereka,” tambah kenyataan itu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pelbagai reaksi masa depan Pan Gon

KUALA LUMPUR: Pelbagai reaksi diterima daripada netizen susulan berita mengenai kesediaan jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak lagi mahukan khidmatnya.

Ada kalangan penyokong yang mahukan jurulatih dari Korea Selatan itu supaya dapat terus mengemudi skuad kebangsaan namun ada juga yang menganggap ‘masa’ Pan Gon sudahpun berakhir.

Kelompok yang menyokong supaya Pan Gon terus kekal menganggap dua kekalahan di tangan Oman itu bukanlah salah Pan Gon dengan Irsha Shafika berkata bukan jurulatih tetapi pemain yang kurang berkualiti, begitu juga dengan Muhammad Hafiz menyatakan pandangan sama.

Arbain Hj Ahmad berkata Pan Gon masih relevan sementara Mohammad Yusri menyifatkan ia satu kerugian sekiranya FAM melepaskan Pan Gon memandangkan dia ada pencapaian dan prestasi skuad negara tidaklah begitu buruk.

Syah Radz pula bersetuju apabila menyatakan sudah tiba masanya Pan Gon meninggalkan skuad negara memandangkan dia ketandusan idea dan taktikal sekali gus FAM perlu memberi peluang kepada jurulatih lain.

Muhammad Syazwan Yusoff berkata setuju Pan Gon ‘out’ dan Zul Niin menyatakan lebih baik Pan Gon melatih pasukan ternama Asia yang lain dan berada pada ranking yang meyakinkan.

Terdahulu, beberapa media melaporkan kem skuad Harimau Malaya bakal menerima satu lagi tamparan selepas tumbang dua kali berturut-turut menentang Oman yang menyaksikan Malaysia terjerumus ke tangga ketiga Kumpulan D.

Ini susulan perkhabaran di mana barisan kejurulatihan yang diterajui Pan Gon dikatakan bersedia untuk meninggalkan skuad kebangsaan sekiranya khidmat mereka tidak lagi diperlukan FAM.

Menurut sumber, barisan kejurulatihan Pan Gon sudah menghantar surat kepada badan induk itu dan menuntut pampasan hanya tiga bulan sekiranya FAM membuat keputusan untuk menamatkan khidmat mereka.

Bagaimanapun, Pan Gon menerusi satu kenyataan menegaskan beliau akan terus komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025 nanti.

Pan Gon turut menjelaskan beliau tidak menghantar apa-apa surat kepada badan induk itu yang menyatakan mahu meninggalkan skuad kebangsaan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia