KUALA LUMPUR: Seramai 50 bekas atlet dipilih menerima sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata bantuan berkenaan membabitkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 berserta barangan keperluan asas bernilai RM200 hingga RM300 setiap seorang.
Beliau berterima kasih kepada DPMUM kerana meneruskan jalinan kerjasama ini sejak tahun 2022 lagi.
“Saya berada sedikit lega apabila masih ada yang hadir menghulurkan bantuan dan bertanya khabar. Mendengar keluh kesah bekas atlet seperti mana yang dilakukan YAKEB
“Baik bekas atlet normal mahupun para, kesemuanya dipantau dan mendapat segala yang diperlukan mengikut kesesuaian semasa,” kata Noorul ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan di sini, hari ini.
Sementara itu, bekas pelumba berbasikal negara, Rosman Alwi yang menjadi salah seorang penerima sumbangan, menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan YAKEB dan DPMUM menghulurkan sumbangan sempena Ramadan dan Syawal yang akan menjelang tiba.
“Saya mewakili semua bekas atelt mengucapkan terima kasih kepada YAKEB dan DPMUM di atas insentif mereka menghargai dan mengingati ahli-ahli sukan.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu bekas atlet meringankan beban keperluan harian.
“Saya harap bantuan ini akan berterusan. Tidak kira banyak atau sikit ia sekurang-kurangnya membantu belanja harian kami,” katanya.-Berita Harian