Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai akhirnya berjaya menamatkan badi kejuaraan apabila menjuarai saingan Terbuka Switzerland selepas menewaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di final, sebentar tadi.
Kemenangan Soon Huat-Shevon itu memberi tamparan hebat buat Tang Jie-Ee Wei yang juga beregu campuran nombor satu negara menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos ini.
Pastinya kejayaan itu memberi makna cukup besar buat Soon Huat-Shevon yang sebelum ini tewas dua kali pentas akhir Terbuka Switzerland pada 2022 dan 2023.
Ia adalah koleksi gelaran juara ketiga dalam saingan Jelajah Dunia BWF sepanjang karier mereka selepas mengungguli Terbuka Jerman dan Singapura pada 2018.
Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-14 menewaskan Tang Jie-Ee Wei di ranking kesembilan 21-16, 21-13 dalam tempoh 37 minit pada aksi final di St Jakobshalle, Basel.
Selaku juara Terbuka Switzerland, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,583) manakala Tang Jie-Ee Wei AS$7,980 (RM37,799).
Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei gagal dalam misi untuk merekodkan gelaran sulung mereka musim ini susulan kekalahan itu.
Pencapaian terbaik mereka musim ini adalah muncul naib juara Masters Thailand bulan lalu.
Sebagai rekod, ia kali pertama gandingan Malaysia muncul juara dalam acara beregu campuran Terbuka Switzerland sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1955.-Berita Harian