KUALA KANGSAR: Perak tetap akan menghantar pasukan bola sepak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Ogos depan, meskipun Perak FC tidak bersedia untuk melepaskan pemain bawah 20 tahunnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah menegaskan sekiranya Perak FC tidak bersedia untuk menyediakan pasukan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan membuat persiapan sendiri.
Namun demikian, MSN masih menunggu kenyataan rasmi daripada Perak FC mengenai perkara itu.
“Kami hanya dengar melalui media sahaja, kami belum terima kenyataan rasmi mereka lagi.
“Jika mereka menolak, kami ada pelan A, B dan seterusnya. Apa yang penting, kami tetap akan hantar pasukan (sertai SUKMA),” katanya ketika ditemui sebelum majlis berbuka puasa di Istana Iskandariah malam tadi.
Semalam, media melaporkan Perak mungkin tidak menyertai acara bola sepak SUKMA disebabkan faktor tajaan dan kewangan yang tidak mencukupi disalurkan oleh MSN Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin dilaporkan berkata, mereka memohon peruntukan RM160,000 bagi memastikan kebajikan pemain serta jurulatih dijaga, tetapi hanya RM50,000 diluluskan.-Berita Harian