Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Keputusan tepat tolak anjur Sukan Komanwel 2026

Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan menolak untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 adalah satu keputusan tepat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutamanya berkenaan kos yang harus ditanggung sebelum, semasa dan selepas kejohanan itu.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohammad berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira kerana dana yang diberikan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebanyak 100 juta (RM603 juta) dilihat sukar untuk menyediakan kelengkapan yang terbaik terutama persediaan kepada pasukan yang bertanding.

Jelasnya, jika Victoria, Australia yang mempunyai mata wang lebih tinggi pun menolak dan menarik diri, kenapa Malaysia perlu menawarkan diri pula.

Katanya lagi, meskipun Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib sebelum ini menyatakan akan menggunakan formula Sukan Sea 2017 seperti penginapan atlet ialah tinggal di hotel, persoalannya adakah hotel di Malaysia mampu menampung keseluruhan kontinjen.

“Idea yang diberikan itu tak dinafikan agak bagus tetapi kena ingat, bilik hotel hanya boleh tinggal dua orang sahaja. Takkan kita nak sediakan hotel kelas biasa? Itu belum masuk chef yang menyediakan makanan, pasukan perubatan seperti fisioterapi, bilik atau dewan untuk kegunaan pasukan dan sebagainya.

“Semua ini mengambil kira dan perlu dilihat secara teliti. Jika mereka tinggal di hotel, adakah hotel itu akan ditutup keseluruhannya dan macam mana pula dari segi bayaran yang dikenakan oleh hotel itu.

“Setiap pasukan sudah pasti inginkan penginapan yang agak selesa dan tidak jauh dari venue pertandingan agar ia memudahkan pergerakan pasukan. Jika jauh, ini akan menimbulkan kegusaran dan tidak seronok kepada pasukan yang bertanding dan akan memberi imej kurang baik kepada negara kita.

“Kenapa kita sanggup nak jadi (tuan rumah), lagipun ada lagi negara yang maju dari kita yang mempunyai fasiliti sukan terbaik seperti London dan beberapa negara lain. Mereka boleh jadi tuan rumah,” katanya kepada Arena Metro.

Tambahnya, itu belum mengambil kira berkenaan venue pertandingan seperti kesesakan jalan raya dan sebagainya.

“Memang setiap pasukan akan ada pengiring tetapi perkara itu harus diambil kira juga (kesesakan lalu lintas). Sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil itu terdapat beberpa acara tumpuan seperti olahraga, skuasy, akuatik dan badminton,” kata Nazmizan.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Kementerian Belia dan Sukan pada 22 Mac lalu mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada hari itu mengambil keputusan berkenaan selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.-Berita Harian