KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek negara mengakhiri kempen Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong tanpa sebarang pingat.
Perlumbaan hari terakhir, hari ini menyaksikan pelumba sandaran, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkandas di pusingan pertama acara pecut individu selepas tewas di tangan Sebastien Vigier dari Perancis.
Terdahulu, Shah Firdaus mara ke pusingan pertama selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok 28 terbaik di pusingan kelayakan dengan mencatat masa 9.987 saat (s) untuk berada di kedudukan ke-26.
Adiknya, Muhammad Ridwan bagaimanapun terkandas di pusingan kelayakan apabila menduduki tangga ke-30 dengan catatan 10.027s.
Semalam, Shah Firdaus dan Ridwan turut gagal meraih pingat dalam acara keirin apabila masing-masing terkandas di pusingan pertama repechage.
“Shah Firdaus agak mengecewakan jika melihat keputusannya. Namun, dia bernasib malang apabila mengalami keracunan makanan di Malaysia pada malam kami berlepas ke Hong Kong dan sakit teruk selama dua hari sehingga kehilangan 5kg (kilogram).
“Jadi, sudah tentu dia tidak mampu untuk mempamerkan pretasi terbaiknya selepas apa yang dialaminya itu,” kata Beasley kepada BH Sukan.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut mengalami nasib sama dalam perlumbaan keirin, hari ini.
Nurul Izzah berada di tempat keempat dalam saringan ketiga pusingan pertama dan kemudiannya mengakhiri saingan di tangga ketiga dalam pusingan pertama repechage.
Bagi acara keirin wanita, hanya juara layak ke pusingan seterusnya.
Pusingan ketiga Piala Negara-Negara akan berlangsung di Milton, Kanada dari 12 hingga 14 April depan.-Berita Harian