Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ramadan paling bermakna buat Fadhil

Kuala Lumpur: Selepas beberapa tahun menjalani ibadah puasa di tempat orang, pelumba berbasikal trek, Fadhil Zonis meluahkan perasaan syukur kerana kali ini dia berpeluang menyambut bulan penuh berkat di negara sendiri.

Lebih manis 2024 juga kali pertama dia menyambut Ramadan atau paling tepat berbuka bersama isteri tersayang, Nur Atiqah Khairulanuar.

“Alhamdulillah selepas beberapa tahun menjalani ibadah puasa di luar negara, saya rasa dua hingga tiga tahun juga sejak kebelakangan ini, akhirnya saya berpeluang menyambut Ramadan di Malaysia.

“Ia memberi peluang untuk saya menunaikan solat Tarawih di tanah air sendiri, kerana sebelum ini di luar negara hanya dengan rakan sepasukan sahaja seperti Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom.

“Berbuka puasa kali pertama dengan isteri juga bakal menjadi detik-detik manis dalam hidup saya,” kata pelumba yang menamatkan zaman bujangnya itu pada Julai tahun lalu.

Fadhil yang juga pelumba kelahiran Selangor, mengakui Ramadan adalah bulan yang menguji kesabaran buatnya, kerana dia dan rakan sepasukan tetap perlu menjalani latihan walaupun sedang berpuasa.

“Kebiasaannya kami berlatih di waktu malam, namun ada sesi yang bermula dari petang sebelum waktu berbuka. Ia bergantung kepada program latihan pada hari berkenaan,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Selain itu, pelumba yang sinonim dengan acara satu kilometer ujian masa mengakui bahawa dia rindu untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan dan mempunyai beberapa menu pilihan untuk di bawa pulang.

“Rindu hendak pergi bazar Ramadan dan menu yang menjadi pilihan utama saya adalah seperti Roti John dan Murtabak. Bagaimanapun, dalam masa sama saya harus memilih makanan bersesuaian dengan latihan.

“Sepatutnya saya perlu mengambil protein seperti ayam bakar dan sebagainya, namun untuk awal-awal bulan puasa ini, saya diberi sedikit kelonggaran, selepas itu baru fokus kepada pembinaan otot,” katanya yang turut menjadikan kuih tepung pelita sebagai hidangan pencuci mulut ketika berbuka puasa.

Ditanya mengenai kenangan ketika menyambut Ramadan zaman kanak-kanak, Fadhil mengakui bahawa dia pernah ‘ditangkap’ arwah bapanya, Mohd Zonis Mokhtar ketika melihat sepupu bermain meriam buluh.

“Kami memang tidak diajar dengan membeli mercun, apatah lagi meriam buluh, ada satu hari itu di bulan puasa saya dan adik-beradik yang lain pergi menyaksikan sepupu kami ‘berperang’ dengan kampung sebelah.

“Hendak dijadikan cerita, bapa saya melihat kami berkumpul, arwah duduk tepi jalan hanya menyaksikan gelagat kami, itu pun sudah cukup untuk membuatkan kami lari lintang-pukang,” katanya menceritakan pengalaman menyambut Ramadan di Kampung Bukit Kerayong, Klang.-Harian Metro