Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya sentiasa berdoa setiap kali bertanding’

PEMANAH negara, G Daneshen berharap dibekalkan dengan set peralatan dan aksesori baharu termasuk busur, setelah mengesahkan tempat ke Sukan Paralimpik Paris 2024, untuk meningkatkan prestasi sekali gus membawa pulang pingat.

Atlet kelahiran Kedah berusia 26 tahun yang bakal membuat penampilan sulung di temasya Sukan Paralimpik 2024 dalam acara compound berkata beliau tidak memiliki set busur sendiri dan selama ini, pemanah di ranking ke-32 dunia itu menggunakan busur milik rakannya Wiro Julin, ketika pertandingan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Daneshen yang meraih dua pingat emas dan satu perak di Sukan Para ASEAN (APG) 2022 berkata, beliau perlu berwaspada setiap kali melangkah ke arena memanah kerana bimbang berikutan tidak mempunyai alat ganti tambahan jika berlaku kecemasan.

“Walaupun busur sudah lama dan retak, saya anggap ia bertuah dan mempunyai nilai sentimental kerana telah memenangi banyak pingat ketika menggunakannya.

“Bagaimanapun, saya akui sangat perlukan busur baharu untuk mencipta kejayaan lebih baik di Paris.

“Saya juga bimbang sekiranya apa-apa berlaku ketika memanah (busur atau tali putus), kita tidak mempunyai busur ganti.

“Saya sentiasa berdoa setiap kali bertanding (supaya jangan berlaku perkara tidak diingini), malah sebelum pusingan kelayakan terdapat keretakan kecil pada busur tapi masih teruskan panahan,” katanya.

Daneshen merupakan pemanah ketiga dan atlet Malaysia ke-10 yang layak ke temasya Paralimpik 2024 pada 28 Ogos hingga 8 September, selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Ranking Dunia Memanah Para Fazza kelapan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu lepas.

Sebelum ini, juara dunia memanah para 2019, S Suresh dan atlet wanita terbaik temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abd Jalil, mengesahkan tiket ke Paris pada Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand hujung tahun lepas, masing-masing sebagai juara recurve lelaki dan naib juara compound wanita.

Mengenai kejohanan Kelayakan Dubai, Daneshen mengakui berdepan saingan sengit daripada lawan kerana ia merupakan pentas terakhir untuk mendapatkan slot ke Paralimpik Paris,

“Saya memang berazam untuk memastikan dapat kelayakan (dengan menamatkan saingan di dua tempat teratas). Apabila tiba di sana saya agak gugup, manakala mata dari peserta lain agak tinggi kerana mereka memberikan bidikan berkualiti, namun saya tetap dapat capai matlamat.

“Ini merupakan Sukan Paralimpik pertama saya, tapi saya yakin dapat mencapai markah dan kedudukan yang baik di Paris,” katanya. – Bernama