KUALA LUMPUR: Walaupun belum pasti namun sekiranya Sukan Komanwel 2026 dianjurkan di Malaysia, ia bakal memberi nilai sentimental buat keluarga legenda angkat berat negara, Hidayat Hamidon.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan pada ketika itu Hidayat menggembirakan negara apabila meraih pingat emas dalam kategori 69 kilogram (kg) dan lebih membanggakan, bekas atlet berusia 49 tahun itu berjaya memecahkan rekod temasya untuk clean&jerk dengan angkatan 167.5kg.
Detik itu masih bermain di fikiran Hidayat dan sekiranya Malaysia menjadi tuan rumah pada 2026, dia bersedia untuk menggembleng tenaga mempersiapkan barisan badang negara termasuk anaknya yang juga pemegang rekod kebangsaan 73kg, Muhammad Erry Hidayat.
“Berdasarkan pengalaman yang ada pada 1998, rasanya kita mampu dengan infrastruktur yang kita ada… stadium yang ada pun mengikut standard antarabangsa.
“Namun semuanya itu bergantung kepada bajet negara kita.
“Kalau jadi, ia sangat luar biasa dan ia akan memberikan peluang untuk barisan atlet angkat berat terutama Erry untuk dapatkan kembali pingat emas ayahnya di tempat yang sama. Sebagai bekas atlet, saya bangga (sekiranya menjadi tuan rumah 2026) dan ini dapat menaikkan semangat atlet kita secara keseluruhan.
“Saya pasti semua atlet sekarang mengalu-alukannya. Bagi saya, semua atlet yang ada pada masa ini sudah bersedia kerana kita mempunyai banyak program seperti Podium dan sebagainya dan bila lagi masanya untuk kita bersaing dengan pesaing antarabangsa.
“Saya juga bersedia untuk mempersiapkan Erry berdasarkan pengalaman saya sebelum ini dan saya rela latihnya di luar. Kalau betul jadi, saya akan berikan sokongan penuh kepada semua atlet. Perasaan itu berbeza sekiranya kita menjadi tuan rumah,” kata Hidayat.
Dalam pada itu, Erry berkata, dia merasakan penganjuran temasya bakal memberikan manfaat kepada negara namun apa yang penting untuk seorang atlet adalah memberi tumpuan penuh daripada sudut prestasi.
“Kalau ada peluang, memang saya nak sertai Sukan Komanwel di Malaysia kerana ia akan mengimbau kenangan ayah. Saya rasa, kalau dapat beraksi di laman sendiri, tentunya lebih bersemangat kerana ada keluarga bersama dan juga sokongan peminat,” kata Erry yang sebelum ini menghadiahkan pingat perak dalam kategori 73kg di Birmingham 2022.-Berita Harian