KUALA LUMPUR: Berlatih dan mengharungi perlawanan ketika Ramadan menjadi antara cabaran besar buat Harimau Malaya untuk berdepan Oman dalam kempen kelayakan Piala Asia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac ini.
Penjaga gol skuad kebangsaan, Suhaimi Husin bagaimanapun menyifatkan pemain Harimau Malaya sudah memiliki pengalaman berlatih dan menghadapi perlawanan ketika Ramadan.
Pemain Terengganu FC (TFC) itu berkata, cabaran tambahan yang perlu dihadapi pemain ketika ini adalah untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik selepas lama berehat dari aksi kompetitif.
ADVERTISING
“Sebelum ini ada perlawanan dalam bulan puasa juga, jadi kami sudah biasa benda itu. Semua pemain akan rasa benda ini, memang lain sikit (berlatih ketika Ramadan).
“Pasukan TFC sudah sebulan berlatih dan setakat ini tahap kecergasan saya pun dalam 50 peratus,” katanya kepada media sebelum sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.
Suhaimi sebelum ini pernah dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan, namun dia tidak tersenarai dalam skuad ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.
Kali ini, Suhaimi akan bersaing bersama penjaga gol nombor satu negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Ketika ditanya mengenai peluangnya untuk beraksi menentang Oman, Suhaimi menjelaskan perkara itu terpulang kepada ketua jurulatih, Kim Pan Gon untuk memilih pemain terbaik selaku benteng terakhir Harimau Malaya.
Penjaga gawang berusia 30 tahun itu berkata, dia akan memberikan yang terbaik buat skuad negara sekiranya diberi peluang beraksi.
“Terima kasih kepada jurulatih, ini kali kedua saya dipanggil. Saya baru dalam kem ini, jadi banyak lagi kena belajar. Saya tak anggap saya senior, bagi saya semua sama sahaja,” katanya.-Berita Harian