KUCHING, 9 Mac: Sarawak mahu penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos tahun ini di negeri ini dijulang sebagai penganjuran temasya terbaik dalam sejarah sukan itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan memastikan Sarawak sebagai tuan rumah akan menyediakan persekitaran yang kondusif, memberi sokongan yang berkekalan serta memastikan setiap atlet merasai pengalaman yang bermakna.
“Saya yakin dengan sokongan daripada semua pihak, kita mampu menjadikan SUKMA dan Para SUKMA 2024 sebagai temasya yang terbaik pernah diadakan dan meninggalkan impak positif kepada perkembangan negara.
“Selain itu juga, ia dapat memupuk hubungan yang baik antara atlet, jurulatih pengurus dan penganjur haruslah dititikberatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibaca Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Sarawak Edisi Ke-21 di sebkha hotel di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Chef De Mission Para Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam.
Tambah Abang Johari, hal tersebut amat penting bagi memudahkan interaksi, pembinaan hubungan positif antara atlet dan jurulatih kerana kepercayaan, komunikasi terbuka, dan sokongan emosi adalah kunci kejayaan atlet.
“Bukan itu sahaja, penganjuran SUKMA juga dapat membuka pintu atlet negara kepada satu perjalanan kecemerlangan yang tidak ternilai. Anda tidak hanya mewakili negeri, tetapi juga membawa semangat kebangsaan.
“Ketika anda berada di gelanggang, ketahanan anda akan diuji. Ingatlah, ketahanan bukan hanya bermaksud tahan lama fizikal, tetapi juga daya ketahanan mental. Kekuatan sejati adalah ketika anda dapat bangkit setiap kali jatuh,” katanya lagi.
Walaupun mengakui penganjuran SUKMA adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar, Abang Johari menghargai kerjasama dan nasihat yang diberikan oleh oleh semua pihak sama ada dari pihak tuan rumah, dan kontinjen-kontinjen negeri serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia dan juga pihak-pihak lain. – TVS