Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet SUKMA, Para SUKMA disaran ambil peluang keemasan tonjolkan bakat

KUCHING, 9 Mac: Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA yang menyertai temasya sukan itu pada edisi kali ini disaran mengambil peluang keemasan untuk menonjolkan bakat mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, platform yang dianjurkan secara dwitahunan itu perlu dijadikan landasan untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

“Kepada para atlet muda negara, gunakanlah medan persaingan ini untuk menunjukkan potensi dan meningkatkan persaingan masing-masing. Harapan kita di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar lebih ramai lagi juara yang akan terlahir dari temasya sukan dan para SUKMA Edisi Ke-21 kali ini dan akan menuruti jejak kehebatan yang pernah dirintis oleh jaguh-jaguh sebelum ini.

“Jangan takut untuk mengatur langkah. Mula mengapai bintang kerana misi mengejar gemilang memangnya berada dalam jangkauan anda semua,” katanya pada Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Sarawak Edisi Ke-21 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu yang mewkilinya di majlis itu.

Menurutnya lagi, temasya sukan edisi kali ini telah memahat sejarahnya kerana sebanyak 30 jenis sukan akan dipertandingkan.

“Ruang yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak dengan mempertandingkan sukan-sukan yang tidak dipertandingkan pada SUKMA Edisi Ke-20 sebelum ini merupakan satu peluang keemasan yang diberikan dan disambut baik khususnya bagi Persatuan Sukan Kebangsaan serta warga sukan di peringkat negeri,” katanya lagi.

SUKMA Sarawak akan diadakan di sembilan bahagian di seluruh negeri pada 17 hingga 24 Ogos ini manakala Para SUKMA Sarawak pula akan diadakan di Bahagian Kuching sahaja pada 20 hingga 28 September ini.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah adalah pada edisi 1990 dan 2016. – TVS