KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu segera mencari formula bagi melonjakkan prestasi mereka andai tidak mahu sekali lagi tersingkir di pusingan awal apabila beraksi di Seluruh England yang bermula Selasa ini.
Semalam, pasangan nombor sembilan dunia itu ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Perancis selepas tewas di tangan pilihan keempat kejohanan dari China, Feng Yan Zhan-Huang Dong Ping 18-21, 14-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.
“Kami banyak melakukan kesilapan dan ini menjadi punca kepada kekalahan kami dalam perlawanan ini.
“Kami seharusnya lebih bersabar dan yakin dengan diri sendiri,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan, semalam
Tang Jie-Ee Wei akan berdepan satu lagi ujian getir apabila memulakan cabaran di Seluruh England selepas diundi menentang juara dunia 2021 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama
Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei hanya menang sekali ke atas pasangan Thailand itu dalam enam pertemuan sebelum ini.
Dua pertemuan terakhir antara kedua-dua pasangan itu yang berlangsung tahun ini iaitu di pusingan kedua Terbuka India dan final Masters Thailand turut memihak kepada Dechapol-Sapsiree.
Satu-satunya kemenangan yang dicatat Tang Jie-Ee Wei adalah ketika suku akhir Terbuka Artik di Finland pada Oktober tahun lalu.
Justeru, Tang Jie-Ee Wei yang berada di bawah bimbingan Nova Widianto perlu menampilkan aksi ‘kelas A’ bagi mengelak daripada tersingkir di pusingan awal buat kali kedua berturut-turut.
Pada edisi Seluruh England tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.
Tang Jie-Ee Wei adalah satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melangkah ke final saingan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas muncul naib juara di Masters Thailand, bulan lalu.-Berita Harian