Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet Miri menyerlah sebagai wakil Sarawak pada SUKMA 2024

MIRI: Kira-kira 80 peratus pemain skuasy yang bakal mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada Ogos depan adalah berasal dari Miri. 

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata Miri antara bahagian yang aktif mempromosikan sukan ini sehingga berjaya menghasilkan ramai atlet-atlet muda berbakat bagi mewakili Sarawak ke kejohanan dipertandingkan. 

“Terima kasih pada semua sukarelawan dan jurulatih kerana dengan sokongan, bantuan dan pengorbanan mereka, kita berjaya melahirkan ramai pemain skuasy cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sarawak Invitational Miri Leg 2024 Squash Tournament di Pei Min Miri Squash Academy, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Lee cukup berbangga apabila melihat penyertaan ramai pelapis muda pada kejohanan tersebut. 

“Pada kejohanan ini saya melihat ramai pemain-pemain muda yang mana ini adalah harapan kita buat masa hadapan. 

“Ini kerana dalam mana-mana acara sukan, kita perlu mempersiapkan generasi pelapis untuk mengambil alih daripada pemain senior. 

“Kita perlu sedar secara realitinya pada peringkat umur tertentu ada masanya kita perlu berundur dan beri peluang kepada bakat-bakat baharu,” ujarnya.
 
Terdahulu, kejohanan anjuran Persatuan Skuasy Miri (MSA) ini mempertandingkan lapan kategori. 

Seramai 150 peserta menyertai kejohanan ini yang datangnya dari Miri, Kuching, Sibu, Sabah, Perlis dan juga negara Brunei. 

Hadir sama, presiden MSA Yeo Yaw Lee dan Datuk Bandar Miri Adam Yii. -Utusan Borneo