Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 8, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet Miri menyerlah sebagai wakil Sarawak pada SUKMA 2024

MIRI: Kira-kira 80 peratus pemain skuasy yang bakal mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada Ogos depan adalah berasal dari Miri. 

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata Miri antara bahagian yang aktif mempromosikan sukan ini sehingga berjaya menghasilkan ramai atlet-atlet muda berbakat bagi mewakili Sarawak ke kejohanan dipertandingkan. 

“Terima kasih pada semua sukarelawan dan jurulatih kerana dengan sokongan, bantuan dan pengorbanan mereka, kita berjaya melahirkan ramai pemain skuasy cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sarawak Invitational Miri Leg 2024 Squash Tournament di Pei Min Miri Squash Academy, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Lee cukup berbangga apabila melihat penyertaan ramai pelapis muda pada kejohanan tersebut. 

“Pada kejohanan ini saya melihat ramai pemain-pemain muda yang mana ini adalah harapan kita buat masa hadapan. 

“Ini kerana dalam mana-mana acara sukan, kita perlu mempersiapkan generasi pelapis untuk mengambil alih daripada pemain senior. 

“Kita perlu sedar secara realitinya pada peringkat umur tertentu ada masanya kita perlu berundur dan beri peluang kepada bakat-bakat baharu,” ujarnya.
 
Terdahulu, kejohanan anjuran Persatuan Skuasy Miri (MSA) ini mempertandingkan lapan kategori. 

Seramai 150 peserta menyertai kejohanan ini yang datangnya dari Miri, Kuching, Sibu, Sabah, Perlis dan juga negara Brunei. 

Hadir sama, presiden MSA Yeo Yaw Lee dan Datuk Bandar Miri Adam Yii. -Utusan Borneo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Aiman pertahan gelaran

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan gelaran juara kebangsaan dalam acara ujian masa elit lelaki hari ini.

Lebih menggembirakan ia gelaran kelima buat pelumba kelahiran Johor itu yang merekodkan masa 55 minit 0.446 saat membabitkan jarak laluan sejauh 30.3 kilometer (km).

Aiman berkata, ia kejayaan bermakna buat dirinya dan sememangnya meletakkan sasaran untuk bergelar juara sekali lagi di Kejohanan Berbasikal Leburaya Kebangsaan tahun ini.

“Sangat gembira dengan kemenangan ini kerana dapat kekalkan gelaran juara kebangsaan buat lima kali. Saya cuba untuk fokus kepada kekuatan, pernafasan dan menjaga laluan supaya saya dapat menguasai perlumbaan,” katanya.

Bermula di Bangunan Stor JKR, Kuala Kubu Bharu ini, Aiman diberi tentangan sengit oleh lawan dari pasukan Malaysia Pro Cycling A (MPC), Muhammad Zawawi Azman yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas merekodkan masa 56:34.436s.

Manakala tempat ketiga milik pelumba Kelapa Gading Bikers Jakarta, Daniel Purwanto 58:28.089s.

Sementara itu dalam saingan ujian masa perseorangan lelaki bawah 23 tahun, emas dimenangi pelumba Terengganu A, Kee Zhe Yie dengan masa 55:33.411s, mengatasi Tsen Ren Bao, dari Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur dan Muhammad Syawal Mazlin (MPC) ketiga._Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nasib berbeza Sivasangari, Eain Yow

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Land Open di Cleveland, Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pemenang pinga emas Sukan Asia Hangzhou berkenaan mengatasi pemain England, Alicia Mead 11-6, 11-8, 11-8 pada aksi suku akhir.

“Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa yang terlalu lama.

“Jadi saya mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” kata Sivasangari yang kali ketiga mara ke separuh akhir dalam saingan Jelajah Dunia musim ini.

Sivasangari akan berdepan pemenang perlawanan antara dua pemain England iaitu pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft bagi perebutan tiket ke pentas final, awal pagi Ahad ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain lelaki negara, Ng Eain Yow apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan Leonel Cardenas dari Mexico dalam pertarungan yang berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu, 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan untuk mara ke separuh akhir dengan 11-6.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari mara, Eain Yow kandas

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, S Sivasangari berjaya mara ke separuh akhir Skuasy Terbuka Cleveland di Amerika Syarikat (AS) ketika pemain lelaki negara yang juga pilihan utama kejohanan, Ng Eain Yow dikejutkan pemain Mexico di suku akhir.

Sivasangari menghadiahkan khabar gembira apabila terus konsisten melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia yang ketiga musim ini apabila mengatasi pemain England, Alicia Mead.

Sivasangari membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu tidak berdepan masalah untuk menyaingi lawan biarpun pada satu ketika Alicia mengatasinya 5-6 sebelum bangkit melakar kemenangan 11-6, 11-8, 11-8 dalam masa 23 minit.

Mengulas mengenai kemenangannya itu Sivasangari berkata, kerja keras dan tidak mengenal erti putus asa menjadi kunci kejayaannya hari ini.

“Kunci kemenangan saya hari ini adalah kerja keras. Paling penting mara ke peringkat seterusnya. Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa terlalu lama.

“Jadi kami mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” katanya.

Sivasangari seterusnya bakal berdepan sama sama ada pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft, kedua-duanya dari England.

Sementara itu hasrat melihat Eain Yow mara lebih jauh tidak kesampaian apabila dikejutkan Leonel Cardenas dari Mexico, dalam pertarungan epik berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan mara ke separuh akhir dengan 11-6.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tang Jie-Ee Wei perlu canai ‘resipi’ baharu

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu segera mencari formula bagi melonjakkan prestasi mereka andai tidak mahu sekali lagi tersingkir di pusingan awal apabila beraksi di Seluruh England yang bermula Selasa ini.

Semalam, pasangan nombor sembilan dunia itu ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Perancis selepas tewas di tangan pilihan keempat kejohanan dari China, Feng Yan Zhan-Huang Dong Ping 18-21, 14-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

“Kami banyak melakukan kesilapan dan ini menjadi punca kepada kekalahan kami dalam perlawanan ini.

“Kami seharusnya lebih bersabar dan yakin dengan diri sendiri,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan, semalam

Tang Jie-Ee Wei akan berdepan satu lagi ujian getir apabila memulakan cabaran di Seluruh England selepas diundi menentang juara dunia 2021 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama

Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei hanya menang sekali ke atas pasangan Thailand itu dalam enam pertemuan sebelum ini.

Dua pertemuan terakhir antara kedua-dua pasangan itu yang berlangsung tahun ini iaitu di pusingan kedua Terbuka India dan final Masters Thailand turut memihak kepada Dechapol-Sapsiree.

Satu-satunya kemenangan yang dicatat Tang Jie-Ee Wei adalah ketika suku akhir Terbuka Artik di Finland pada Oktober tahun lalu.

Justeru, Tang Jie-Ee Wei yang berada di bawah bimbingan Nova Widianto perlu menampilkan aksi ‘kelas A’ bagi mengelak daripada tersingkir di pusingan awal buat kali kedua berturut-turut.

Pada edisi Seluruh England tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.

Tang Jie-Ee Wei adalah satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melangkah ke final saingan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas muncul naib juara di Masters Thailand, bulan lalu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KURSUS INDUKSI MAJLIS SUKAN NEGARA 2024

YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub telah menyempurnakan Majlis Penutup bagi Kursus Induksi MSN 2024 bertempat di Glory Beach, Port Dickson.

Kursus yang diadakan selama 3 hari 2 malam pada 5 hingga 7 Mac itu merupakan anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan MSN (Cawangan Sumber Manusia) dan telah dihadiri seramai 32 orang peserta daripada semua bahagian di MSN.

Objektif utama kursus tersebut adalah untuk memupuk nilai dan etika kerja cemerlang di kalangan semua pegawai dan anggota dalam perkhidmatan awam.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia