Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan acara lontar peluru, Jonah Chang Rigan tidak mahu melepaskan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila Sukan Malaysia (Sukma) 2024 berlangsung di negeri kelahirannya dengan menyasarkan untuk bergelar Olahragawan Sarawak.
Biarpun jadual tahun ini agak padat kerana dia turut menyambung pelajaran, atlet berusia 21 tahun itu berkata, perkara itu tidak melunturkan semangatnya dan menyasarkan tiga pingat emas di Sukma yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.
Katanya, tiga acara menjadi tumpuannya sudah pasti lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi.
“Sukma terakhir saya di negeri kelahiran, jadi sudah pasti saya tak mahu melepaskan peluang untuk bergelar Olahragawan Sarawak dengan menghadiahkan tiga emas.
“Memang tidak mudah dan saya perlu melipat gandakan latihan, tapi saya yakin tiga emas bukan sesuatu yang mustahil,” katanya.
Malah, dia memegang rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 17.67 meter (m) yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lalu turut menyasarkan untuk mencatatkan rekod baharu kebangsaan tahun ini dengan lontaran mencecah 18m.
“Selain sasaran tiga emas di Sukma, saya harap dapat catatkan 18m. Ketika ini catatan itu masih jauh lagi dari balingan terbaik saya iaitu 17.67m, tapi saya yakin boleh lakukannya.
“Tahun ini ada dua kejohanan di luar negara iaitu Kejohanan Terbuka Filipina pada Mei dan All Comers Korea pada akhir Jun, jadi saya harap dapat melakukannya di sana,” katanya.
Terdahulu, dia tidak berdepan masalah untuk bergelar atlet nombor satu negara dalam acara lontar peluru apabila meraih emas di Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024, minggu lalu, dengan lontaran sejauh 16.97m.
Biarpun jauh dari pencapaian terbaiknya, Jonah berkata, ia satu permulaan yang baik buat permulaan musim 2024 selepas berehat panjang.
Pada kejohanan itu, dia turut mengenepikan jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli daripada MSN Para, yang menyambar pingat perak dengan catatan 16.17m dan gangsa milik Muhammad Luqman Hakim Baharudin dengan catatan 13.41m.-Harian Metro