KUALA LUMPUR: Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises-Enrique Harold gagal menyerlah dalam acara 10 meter platform seirama lelaki apabila menduduki tempat kesembilan pada Piala Dunia Terjun siri pertama di Montreal, Kanada awal pagi tadi.
Bertrand-Enrique mengumpul 353.67 mata selepas enam terjunan dengan Yang Hao-Lian Junjie dari China dinobat sebagai juara dengan meraih 457.23 mata pada pertandingan di Pusat Sukan Olympic Park.
Gandingan dari Mexico, Kevin Berlin Reyes-Randal Willards Valdez meraih perak dengan 428.97 mata dan pasangan Britain, Noah Williams-Tom Daley mengumpul 417.93 mata bagi gangsa.
Kelmarin, Bertrand yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 memperoleh 389.85 mata untuk menduduki tempat ke-10 daripada 11 penerjun dalam acara akhir 10m platform lelaki.
Piala Dunia Terjun 2024 berlangsung dalam tiga siri.
Selepas Montreal, saingan akan diadakan di Berlin dari 21 hingga 24 Mac ini diikuti dengan pusingan akhir super di Xi’an, China dari 19 hingga 21 April depan. – BERNAMA