NILAI: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohd Zubir bakal menjalani program latihan padat dan intensif termasuk pada Ramadan, sebagai persediaan menghadapi cabaran di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.
Jurulatih berbasikal lebuh raya wanita negara, Amir Mustafa Rosli berkata, persiapan sudah diatur bagi pelumba berusia 26 tahun itu menyertai dua kejohanan terdekat iaitu di Vietnam dan Thailand.
“Menjelang Ogos itu, kita ada dua pelumbaan iaitu di Vietnam dan Thailand, namun sebelum itu pelumba akan menyertai kem sepasukan di Chiang Mai selama dua minggu.
“Kemudian, mereka akan menyertai Jelajah Thailand. Sepanjang bulan Ramadan itu sememangnya padat dengan program latihan, namun kedua-dua perlumbaan berkenaan penting bagi Aisyah untuk mengukur tahap prestasi semasa,” katanya.
Beliau ditemui media selepas sesi lawatan dan perbincangan dengan Ketua Kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin di Velodrom Nasional di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Nicol David dan Naib Presiden Persekutan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Norazman Abu Samah.
Menurut Amir Mustafa, sejak memantau Aisyah selama lebih dua tahun, beliau yakin dengan keupayaan dan komitmen pelumba berasal dari Terengganu itu untuk menghadapi program latihan yang lasak dan keras.
“Aisyah sudah melalui pelbagai bentuk dan corak latihan dan setakat ini tiada masalah, cuma pada persiapan terakhir di Belgium nanti, saya nak kena pandai susun dia (Aisyah) punya pelumbaan.
“Tapi, saya juga akan berbincang dengan John Beasley (jurulatih basikal negara) mengenai sebarang perancangan dan strategi terbaik sebelum ke Paris,” kata bekas pelumba Olimpik negara itu.
Beliau menyifatkan bukan sesuatu yang mustahil buat Aisyah untuk mencipta kejutan di temasya sukan terbesar dunia itu meskipun dia bakal menghadapi perlumbaan yang mencabar dengan jarak kayuhan 267 kilometer (km).
“Tiada yang mustahil, apa yang saya alami sebelum ini, sama juga dengan Aisyah akan alami. Tapi, pada diri Aisyah ada pakej tersendiri dan saya percaya tidak mustahil bakal berlaku keajaiban, cuma yang penting perancangan itu kena betul,” kata Amir Mustafa.-Beirta Harian