KUALA LUMPUR: Dua beregu memegang kunci kemenangan apabila Malaysia bertemu Denmark dalam aksi Kumpulan D kempen Piala Thomas di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei depan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata tiada cara lain untuk Malaysia menewaskan Denmark selain menang dua aksi beregu dan mencuri satu mata dalam acara perseorangan.
Katanya, atas kertas Denmark yang juga juara 2016 memiliki kelebihan dalam acara perseorangan yang dijangka diketuai pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen selain Anders Antonsen (keempat), Rasmus Gemke (28) dan Magnus Johannesen (34).
“Denmark mempunyai pemain yang cukup seimbang dalam acara perseorangan, mereka ada Axelsen dan Antonsen.
“Mungkin kalau tengok prestasi semasa mereka tidak bermain baik ketika Seluruh England, berbeza berbanding di Terbuka Malaysia dan Masters Indonesia (Antonsen juara kedua-dua kejohanan).
“Namun, pada hakikatnya mereka tetap pemain perseorangan yang sangat kuat. Saya tidak pasti siapa akan diturunkan sebagai perseorangan ketiga sama ada Gemke atau Johannesen tetapi kedua-duanya juga kuat,” katanya.
Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan pula hampir pasti akan diketuai pemain ranking ke-10 dunia, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong (18), Leong Jun Hao (37), Eogene Ewe (204) dan Justin Hoh (207).
Menurut Rexy, disebabkan situasi itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu tampil dengan aksi ‘kelas A’ bagi memastikan kemenangan apabila bertemu pasangan nombor satu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
“Kalau dilihat kedua-dua pasangan itu ada peluang yang seimbang. Ia bergantung kepada siapa yang beraksi lebih baik pada hari perlawanan.
“Beregu kedua kita juga perlu sumbang mata, bukan cakap beregu kedua Denmark (Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard) tidak bagus tetapi kita tiada pilihan kerana inilah yang kita perlu untuk menang ke atas Denmark,” katanya.
Malaysia meletakkan tiga pasangan sebagai pilihan untuk disenaraikan ke Chengdu sebagai beregu kedua iaitu pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.
Aksi bertemu Denmark dijangka menjadi penentu gelaran juara bagi Kumpulan D.
Selain Denmark, Malaysia juga akan bertemu Hong Kong dan Algeria.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 dengan pencapaian terbaik selepas itu muncul naib juara sebanyak dua kali dua kali muncul pada edisi 2002 di Guangzhou dan 2014 di New Delhi.-Berita Harian