Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong ‘panas badan’ di BATC

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang bermula Selasa ini disifatkan sebagai ujian penting buat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk kembali berada pada tahap optimum selepas dibelenggu kecederaan otot belakang sebelum ini.

Saingan BATC akan menjadi kayu pengukur sebelum dia mempersiapkan diri bagi menghadapi siri kejohanan di Eropah yang mana dia perlu menghasilkan keputusan terbaik dalam misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jika tahap kecergasannya mengizinkan, Tze Yong dijangka beraksi sekurang-kurangnya empat daripada lima kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Jerman (27 Februari hingga 3 Mac), Terbuka Perancis (5 hingga 10 Mac), Seluru England (12 hingga 17 Mac), Terbuka Switzerland (19 hingga 24 Mac) dan Masters Sepanyol (26 hingga 31 Mac).

Tze Yong sebelum ini terlepas empat kejohanan pertama musim ini selepas mengalami kecederaan otot belakang di pusingan pertama Terbuka Malaysia, bulan lalu sehingga dia terpaksa menarik diri di Terbuka India, Masters Indonesia dan Masters Thailand.

“Saya sudah 70 hingga 80 peratus pulih tetapi saya tetap perlu berhati supaya tidak memburukkan lagi tahap kecederaan saya.

“Saya sudah mula bermain dalam perlawanan sebenar ketika latihan tetapi sudah tentu ia tidak sama seperti saya berada dalam keadaan 100 peratus cergas. Saya memerlukan masa untuk kembali berada pada tahap terbaik.

“Saya bekerja keras untuk mendapatkan semula kekuatan saya. Mujur, kami akan berdepan pasukan bawahan ketika saingan peringkat kumpulan BATC (Brunei dan Kazakhstan), kedua-dua perlawanan ini adalah sesuatu yang baik untuk saya kembali menjadi kompetitif,” kata Tze Yong.

Selain Brunei dan Kazakhstan, Malaysia turut diundi bersama Taiwan dalam Kumpulan B.

Cabaran Malaysia yang tampil sebagai juara bertahan turut digalas tiga lagi pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eugene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.- Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong ambil pendekatan berwaspada

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong semakin menunjukkan perkembangan positif dalam fasa pemulihan dari kecederaan belakang yang dialaminya.

Bagi Tze Yong, meskipun dirinya semakin pulih namun dia tetapi berwaspada di dalam latihan agar dirinya tidak terlepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan berlangsung pertengahan bulan ini.

“Saya kena berhati-hati semasa latihan ini kerana tidak mahu cedera lagi sebelum saingan BATC bermula.

“Ketika jalani sesi latihan, saya dapat rasa tahap kecergasan saya amat berbeza berbanding sebelum ini. Doktor juga tidak memaklumkan jangka masa saya pulih sepenuhnya dan mungkin mengambil masa (pulih dari kecederaan belakang),” katanya.

Selain itu, semangat untuk berjuang mempertahankan kejuaraan BATC juga semakin membara dan dirinya yakin mampu melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mata penting bagi pasukan negara.

“Saya yakin BATC minggu depan tidak begitu sukar. Kazakhstan lawan yang mudah dan saya boleh lihat diri saya cukup cergas atau tidak ketika perlawanan tersebut.

“Dua tahun lalu, pasukan yang dihantar tidak begitu kuat tetapi kali ini saya lihat barisan skuad mereka akan beri saingan yang sengit,” kata Tze Yong.

Terdahulu, Tze Yong mengalami kecederaan belakang ketika Terbuka Malaysia bulan lalu sehingga dirinya terlepas beberapa kejohanan penting untuk memburu tiket ke Olimpik Paris 2024.

Malaysia adalah juara bertahan acara berpasukan lelaki BATC edisi lalu, diletakkan di kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei yang bakal membuka tirai saingannya pada 13 Februari ini.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Terjunan awal yang kurang baik, punca penerjun negara gagal

Kuala Lumpur: Permulaan terjunan yang kurang baik menjadi salah satu faktor penerjun negara gagal mendapatkan mata semaksimum untuk memburu kedudukan terbaik di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar sekali gus terlepas tiket ke Olimpik Paris 2024 dalam beberapa acara sebelum itu.

Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas berkata, sekiranya faktor terjunan dapat dibaiki, keputusan akan menjadi sebaliknya dan peluang untuk mendapatkan kedudukan terbaik itu juga agak cerah.

Jelasnya lagi, keadaan Nur Dhabitah Sabri yang mengalami sedikit kecederaan menyebabkan dirinya tidak dapat melakukan yang terbaik seperti kebiasaannya.

Akan tetapi, Bryan tetap optimis Dhabitah mampu melakukan sesuatu dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu untuk mendapatkan tiket ke Olimpik Paris 2024.

“Kita tak ada permulaan yang bagus. Semalam kita ada acara yang kita terlepas dan rasakan peluang itu ada kalau kita boleh tambah baik 0.5-1.5 markah bagi setiap terjunan.

“Dhabitah punya kecederaan dalam kawalan. Masa 10m (platform seirama) impak atau tekanan itu tinggi.

“Tetapi di 3m, kita rasa dia boleh lakukan. Apa pun kita akan tunggu dan lihat keputusan 3m individu hari ini. Saya yakin dengan Bitah (Dhabitah),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi yang ditampilkan oleh Datuk Pandelela Rinong yang gagal mendapatkan slot ke temasya terbesar dunia itu, beliau menyatakan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi prestasi dia.

“Saya rasa benda ini (prestasi Pandelela) semua orang sedikit sebanyak boleh tahu. Rentak, rotation, kekuatan dan usia,” katanya.

Kem terjun negara terus suram selepas terbaru gandingan Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PERJUMPAAN KP MSN BERSAMA PENGARAH TEKNIKAL RENANG

Satu perjumpaan bersama Pengarah Teknikal Sukan Renang, Megan Oesting yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN telah diadakan di MSN, Bukit Jalil.

Persekutuan Renang Malaysia telah melantik jurulatih Amerika, Megan Oesting sebagai pengarah teknikal pertama bagi kem renang kebangsaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SASARAN PINGAT BAGI SUKMA 2024 DITENTUKAN HUJUNG BULAN INI

KUANTAN, 08 FEBRUARI 2024 : Sasaran pingat bagi sukan-sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan ditentukan hujung bulan ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ini kerana Kerajaan Negeri Pahang akan menilai semula sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Sasaran pingat ini hanya akan diputuskan selepas saya berjumpa dengan kesemua atlet dan pegawai pada penghujung bulan ini.

“Pada masa itu saya akan tetapkan sasaran sebenar pingat untuk Pahang pada SUKMA Sarawak tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan beramah mesra bersama atlet gimnastik dan gimrama di SUKPA.

Menurut beliau, fasiliti bagi latihan para atlet juga perlu diberi perhatian dan penambahbaikan bagi memastikan mereka dapat berlatih dalam keadaan yang selesa.

“Dari segi fasiliti memang kena ada penambahbaikan sebab bila giatnya latihan, mungkin ada peralatan tertentu yang perlu kita tambah baik fasiliti dan peralatan ini.

“Kita sentiasa pantau dan nilai tahap kesiapsiagaan fasiliti, kemudahan dan peralatan kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri Pahang bersungguh-sungguh dalam memastikan prestasi para altet SUKMA dipertingkatkan.

“Saya tahu sukar apabila kita letak sasaran Top5 bagi Pahang untuk SUKMA ini sebab pada SUKMA yang lalu kita menduduki tangga ke sembilan.

“Namun tiada yang mustahil andai ada kesungguhan. Sebab itu saya turun padang untuk beri semangat kepada atlet dan juga jurulatih untuk persiapan mereka untuk ke SUKMA,” katanya. -PAHANGMEDIA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PROGRAM CSR MSN DAN F&N BEVERAGES MARKETING SDN BHD DENGAN KERJASAMA YAYASAN KEBAJIKAN ATLET (YAKEB) KEPADA ATLET KEBANGSAAN

Program Kolaborasi MSN dan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. dengan kerjasama YAKEB bagi Penyerahan Sumbangan Kepada Atlet Kebangsaan dan Bekas Atlet Kebangsaan Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina diadakan pada 31 Januari dan 7 Februari 2024.

31 Januari 2024

Penerima Sumbangan:

1. Mary Soo (Hoki)

2. Chan Mai Lan (Catur OKU)

3. Lee Sheng Chow (Olahraga OKU)

4. Kenneth Low (Squash)

5. Lee Chee Hoong (Boccia)

7 Februari 2024

Penerima Sumbangan:

1. Lim Kim Lian (Bola Sepak)

2. Lim Geok Wah (Renang)

3. Lim Yoke Che @ Lim Yok Te (Menembak)

4. Ng Joo Pong (Basikal)

Program penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan bersama YBhg. Dato’ Noorul Ariffin Abdul Majeed, Pengerusi YAKEB dan YBrs. En. Muhammad Fauzi Ahmad, Pengurus Pengurusan Acara & Penajaan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. serta disaksikan oleh Pengarah Bahagian Korporat MSN, Pn. Puah Pei Ling. Sumbangan yang diberi berupa produk F&N berserta wang tunai.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT PENYELARASAN PROGRAM SUKAN ORANG PEKAK BILANGAN 1/2024

YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN telah mengadakan satu mesyuarat bersama Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Tujuan utama mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM 1 Juta bagi tahun 2024 kepada Sukan Orang Pekak. Selain daripada itu juga, turut membincangkan berkenaan program dan perancangan tahunan sukan tersebut. Perkara ini merupakan satu Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara.

Turut hadir sama YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN dan YBrs. Encik Ong Shin Ruenn, Presiden MsDeaf.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad ping pong wanita sasar ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Atlet wanita kebangsaan, Alice Chang Li Sian memasang impian untuk membantu kem ping pong negara menjejakkan kaki di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Kem negara dijadual menyertai dua kejohanan kelayakan iaitu Kejohanan Dunia Berpasukan di Busan, Korea Selatan bermula 16 Februari ini sebelum mengharungi saingan bagi individu di Bangkok, Thailand pada Mei.

Justeru itu, atlet berusia 24 tahun itu berkata, pasukan sudah mempersiapkan diri untuk kedua-dua kejohanan berkenaan dan fokus utama kini terlebih dahulu terarah kepada merebut tempat ke suku akhir di Korea Selatan.

“Sekarang kami dalam persiapan untuk kejohanan dunia berpasukan di Busan dahulu. Di kejohanan ini pasukan yang berada di suku akhir boleh ke Olimpik.

“Memang agak susah di kejohanan dunia berpasukan tetapi saya rasa kalau tak bersaing, kita tak akan tahu bagaimana,” katanya.

Alice adalah antara atlet yang membantu kem negara meraih pingat perak acara berpasukan wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama Tee Ai Xin, Karen Lyne dan Ho Ying.

Selain itu, Alice turut membantu kem ping pong meraih pingat di Sukan SEA Kemboja 2023 dalam acara berpasukan wanita (perak) dan beregu wanita (gangsa).

“Di Sukan SEA tahun lalu, kami mara ke pentas final berpasukan wanita, yang pertama dalam tempoh 33 tahun (ke final). Jadi tahun ini, harap untuk sukan ping pong, ada yang layak ke Olimpik,” kata Alice.

Berdasarkan peningkatan prestasi yang dipamerkan dalam dua temasya itu, Alice optimis kem negara mampu untuk mencipta sesuatu pada kejohanan kelayakan Olimpik kali ini.

“Ada dua kejohanan (kelayakan), saya harap dapat pergi dan akan bersaing sehabis baik sebab saya dapat rasakan yang ping pong memang ada peluang.

“Sebagai seorang atlet, impian kami sudah tentunya mahu ke Olimpik dan itu sasaran saya,” katanya yang begitupun mengharapkan proses undian di Bangkok nanti memberikan laluan mudah kepada dirinya.

“Untuk kelayakan itu, ia juga bergantung kepada undian. Tetapi bagi saya, saya tidak begitu mahu terlalu terburu-buru. Saya sudah melakukan yang terbaik pada masa ini, jadi mungkin keputusan juga menjadi baik.

“Ini kerana, seperti di Sukan SEA tahun lalu, Sukan Komanwel… kami tidak begitu meletakkan harapan tinggi nak emas atau ke final. Apa yang kami lakukan, hanyalah berjuang sehabis baik,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil pada Sukan Olimpik adalah menerusi penyertaan dua pemain wanita iaitu Lau Wai Cheng dan Leong Mee Wan pada edisi 1988 di Seoul.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Wendy-Dhabitah kandas acara 3m papan anjal seirama wanita

KUALA LUMPUR: Gandingan Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri terlepas tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar di tempat kesembilan, sebentar tadi.

Beraksi di Pusat Akuatik Hamad, Wendy-Nur Dhabitah mengumpul 258.30 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan berkenaan daripada 18 pasangan.

Wakil China, Chang Yani-Chen Yiwen memenangi pingat emas dengan 323.43 mata manakala gandingan Australia, Anabelle Smith-Maddison Keeney pulang dengan perak, 300.45 mata.

Melengkapkan pentas podium di Doha bagi acara berkenaan adalah pasangan Britain, Scarlett Mew Jensen-Yasmin Harper yang mengumpul 281.70 mata daripada lima terjunan.

Empat pasangan di kedudukan teratas akan menempah tiket ke Paris 2024 secara merit dan sekiranya ada daripada kelompok berkenaan yang sudah melayakkan diri, slot kelayakan akan diberikan kepada pasangan di bawah mereka.

Begitupun, Wendy dan Nur Dhabitah masih mempunyai satu lagi peluang untuk ke Paris 2024 menerusi acara 3m papan anjal individu yang bermula dengan pusingan kelayakan, esok.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024 dijangka alami kelewatan disebabkan peperangan dunia

KUCHING, 7 Feb: Persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak dijangka akan mengalami kelewatan disebabkan peperangan dunia yang terjadi sekarang ini, demikian menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, ini kerana peralatan sukan yang diimport dari negara Eropah dibimbangi akan memberi kesan kepada jadual atlet tempatan dan pembaikan kemudahan sukan di negeri ini.

“Kita telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk Jawatankuasa Penganjur iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Hii Chang Kee menjadi penganjur SUKMA untuk menaiktaraf kemudahan kita.

“Sekarang anda tahu, untuk mendapatkan barang dari Eropah, kalau naik kapal akan menghadapi masalah, jadi pekara kecil ini boleh mengganggu kita. Itu yang saya khuatir, tetapi saya percaya sepenuhnya kepada mereka yang menguruskannya di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak di The Waterfront Hotel di sini, hari ini.

Sarawak telah dipilih menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2024 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024. – TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia