KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin cemas sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Jerman, hari ini.
Pasangan ranking ke-12 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan beregu Denmark yang berada di kedudukan ke-35 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada pusingan kedua di Westenergie Sporthalle di Mulheim an der Ruhr.
Pada aksi itu, Ee Yi-Yew Sin menang set pertama 21-14 tetapi tewas 19-21 di set kedua sebelum kembali bangkit memenangi set ketiga 21-10 sekali gus mara ke kelompok lapan terbaik.
Sebagai rekod, ini kali kedua Ee Yi-Yew Sin berjaya melayakkan diri ke suku akhir selepas Terbuka Malaysia, awal bulan lalu.
Pasangan itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan akan berdepan pemenang perlawanan antara beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dengan Christopher Grimley-Matthew Grimley dari Scotland bagi perebutan tiket ke separuh akhir esok.-Berita Harian