PEMANAH recurve negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi akan terbang ke luar negara pada April untuk menajamkan panahan dalam tiga kejohanan dunia menuju 149 hari Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.
Piala Dunia Shanghai, China pada April disusuli Piala Dunia Yecheon, Korea Selatan pada Mei dan kejohanan Piala Dunia Antalya, Turkiye (Jun) akan menjadi pentas pemanas badan buat pemanah berusia 19 tahun itu sebelum temasya terbesar itu membuka tirai pada 26 Julai.
Jurulatih memanah negara, Muhammad Marbawi Sulaiman berkata, tiga kejohanan tersebut menjadi platform terbaik buat Ariana menguji kemampuan diri sebelum berada di pentas sebenar di Paris.
Muhammad Marbawi. Foto Bernama
Beliau berkata, Piala Dunia di Shanghai penting buat Ariana kerana ia merupakan kejohanan pertama di luar negara pada tahun ini.
“Kejohanan kompetitif penting buat Ariana untuk kita merancang langkah seterusnya. Shanghai menjadi medan persediaan dan pendedahan pertama Ariana bagi kejohanan antarabangsa pertama tahun ini.
“Kita juga nak tengok reaksi Ariana semasa pertandingan. Adakah dia boleh kawal situasi semasa pertandingan bersaing dengan pemanah handalan. Dari situ kita akan perbaiki apa sahaja kelemahan,” katanya.
Mengulas sasaran terhadap Ariana pada Sukan Olimpik Paris, Muhammad Marbawi enggan memberi tekanan dan meletakkan sasaran tinggi kerana ia merupakan penampilan pertama pada temasya tersebut.
“Olimpik pertama Ariana, tak adil bagi saya untuk letak sasaran tinggi. Ia satu pendedahan berharga buat Ariana. Apapun kita akan cuba beri yang terbaik,” katanya.
Muhammad Marbawi (tengah) memantau sesi latihan Ariana.
Ariana sebelum ini merupakan atlet pelapis, namun setelah mengesahkan tiket Sukan Olimpik menerusi Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand 2023, pemanah yang berasal dari Kuala Lumpur itu dinaikkan pangkat ke Program Podium.
Bagaimanapun Ariana tiada dalam senarai Program Road To Gold (RTG), namun sebarang keperluan pelajar Kejuruteraan Mekanikal di German-Malaysian Institute (GMI), Selangor itu menjadi keutamaan jawatankuasa tersebut.-Sinar Harian