Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ penghormatan besar – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ yang diberikan kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dianggap sebagai satu penghormatan yang begitu besar oleh bintang berbasikal trek negara itu.

Pelumba berusia 21 tahun itu mencipta sensasi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 selepas berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan juga 500 (m) ujian masa pada saingan yang berlangsung di New Delhi itu.

Pelumba kelahiran Sungai Petani itu turut merangkul pingat perak dalam acara pecut berpasukan dan juga pingat gangsa dalam acara pecut.

“Saya tumpang gembira dengan gelaran yang diberikan oleh John (Beasley) itu dan gelaran itu dipegang oleh Datuk Azizulhasni Awang. Tetapi perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seperti beliau.

“Saya harap gelaran itu dapat membantu memberi motivasi yang lebih baik dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk masa depan,” kata Izzah.

Mengulas lanjut prestasinya bagi edisi kali ini, Izzah mengakui dia agak berpuas hati dengan pencapaian yang diraih namun menegaskan dia tidak boleh cepat selesa sekali gus perlu terus meningkatkan lagi prestasinya.

“Masih banyak yang perlu dipelajari selepas saya memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Saya harap saya dapat mengekalkan prestasi selepas ini.

“Selain itu, saya mahu meningkatkan lagi pengalaman dan persembahan saya supaya dapat lebih maju di hadapan. Terima kasih juga pada ibu bapa saya yang banyak menyokong saya sejak dari awal dalam sukan berbasikal.

“Begitu juga kepada jurulatih saya di Kedah dan Majlis Sukan Negara (MSN). Tidak lupa juga kepada penyokong di Malaysia yang banyak memberi kata-kata positif sebagai semangat untuk terus berjaya,” katanya.-Berita Harian