Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 27, 2024

Yew Sin-Ee Yi lepasi halangan awal

BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2024 Super 300 di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim dengan langkah kanan pada Selasa.

Beregu nombor 12 dunia itu tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi, 21-13, 21-14 dalam masa 38 minit.

Yew Sin-Ee Yi akan berdepan pemenang perlawanan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (Denmark) menentang Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa (Taiwan).

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut mara selepas mengatasi pasangan dari Austria, Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir, 21-9, 21-13 dalam masa 32 minit.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei berstatus nombor 62 dunia pula akan menyingkap cabaran berdepan pemain dari Perancis, Lucas Claerbout pada pusingan pertama.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (25 dunia) akan menentang pasangan dari England, Gregory Mairs-Jenny Mairs manakala satu lagi gandingan negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (14 dunia) berdepan wakil dari India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Haikal sasar juarai Masters Orleans

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri meletakkan sasaran membawa pulang mahkota kejuaraan sulung tahun ini bersama pasangannya, Choong Hon Jian pada kejohanan Badminton Masters Orleans 2024 di Orleans, Perancis, pada 12-17 Mac ini.

Muhammad Haikal berkata beliau mahu mengecap kejayaan membanggakan di Orleans bagi menambat hati jurulatih untuk menyenaraikan mereka ke dalam skuad Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, pada 28 April-5 Mei ini.

“Setakat ini persediaan baik, kalau tengok undian agak bagus dan ada peluang (juara di Orleans). Sekiranya nak tunjuk (kami) layak (Piala Thomas 2024) kena buktikan ketika di Orleans ini .

“Jika menang gelaran dapat beri kepercayaan kepada jurulatih, jika kalah macam mana nak masuk ke skuad Piala Thomas,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Hon Jian-Muhammad Haikal bakal membuat perhitungan dengan satu lagi wakil negara, Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 300 tersebut.

Biarpun dibelenggu prestasi kurang meyakinkan pada permulaan musim, Muhammad Haikal berkata beliau dan Hon Jian sedang berusaha keras mencapai semula persembahan terbaik mereka Disember lepas sehingga bergelar juara dua kali berturut-turut di India pada saingan Antarabangsa India Syed Modi 2023 dan Masters Guwahati.

Muhammad Haikal-Hon Jian memulakan kempen 2024 dengan tersingkir seawal pusingan kedua pada Masters Indonesia 2024 kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark, 17-21, 19-21.

Nasib ternyata tidak menyebelahi pasangan ranking ke-39 dunia itu apabila terpaksa menarik diri pada pusingan pembukaan Masters Thailand 2024, baru-baru ini, susulan kecederaan buku lali dialami Muhammad Haikal sewaktu ketinggalan 7-16 pada set pertama kepada Kim Won Ho-Na Sung Seung dari Korea Selatan. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pentas rebut tiket ke Kejohanan Dunia

SHAH ALAM: Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak Amerika Syarikat 2024 yang dianjurkan pada 5 hingga 7 Mac di sini bakal menjadi pentas buat pemain muda negara merebut tiket ke Kejohanan Remaja Dunia pada Julai depan.

Pengarah Eksekutif Sports Excel C Sivanandan berkata kejohanan yang dianjurkan Sports Excel dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu merupakan platform mencungkil bakat pemain muda negara selain memberi peluang kepada mereka untuk melayakkan diri ke pentas antarabangsa.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Kelab Golf & Country Glenmarie di sini.

“Kejohanan ini untuk pembangunan akar umbi bagi sukan golf di Malaysia, sekiranya pemain dapat mata-mata tertentu mereka berpeluang untuk layak ke Kejohanan Remaja Dunia yang dianjurkan di Pinehurst, North Carolina, Amerika Syarikat pada Julai.

“Langkah bagus untuk menggalakkan pemain muda negara keluar negara, bertanding di luar negara tunjuk kebolehan seterusnya mendapatkan biasiswa sukan dari Amerika Syarikat, sekiranya mereka keluar, mereka boleh mohon biasiswa untuk karier sukan dan akademik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak A.S di sini hari ini.

Sivanandan berkata, Kejohanan Golf Malaysia Kanak-kanak A.S merupakan pusingan akhir bagi Jelajah Tempatan U.S Kids Golf Malaysia 2023 bermula 31 Oktober hingga 2 Disember tahun lalu.

Beliau berkata seramai 106 peserta berusia lima hingga 18 tahun daripada 16 buah negara layak ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu dengan 37 daripadanya pemain Malaysia. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ penghormatan besar – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ yang diberikan kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dianggap sebagai satu penghormatan yang begitu besar oleh bintang berbasikal trek negara itu.

Pelumba berusia 21 tahun itu mencipta sensasi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 selepas berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan juga 500 (m) ujian masa pada saingan yang berlangsung di New Delhi itu.

Pelumba kelahiran Sungai Petani itu turut merangkul pingat perak dalam acara pecut berpasukan dan juga pingat gangsa dalam acara pecut.

“Saya tumpang gembira dengan gelaran yang diberikan oleh John (Beasley) itu dan gelaran itu dipegang oleh Datuk Azizulhasni Awang. Tetapi perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seperti beliau.

“Saya harap gelaran itu dapat membantu memberi motivasi yang lebih baik dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk masa depan,” kata Izzah.

Mengulas lanjut prestasinya bagi edisi kali ini, Izzah mengakui dia agak berpuas hati dengan pencapaian yang diraih namun menegaskan dia tidak boleh cepat selesa sekali gus perlu terus meningkatkan lagi prestasinya.

“Masih banyak yang perlu dipelajari selepas saya memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Saya harap saya dapat mengekalkan prestasi selepas ini.

“Selain itu, saya mahu meningkatkan lagi pengalaman dan persembahan saya supaya dapat lebih maju di hadapan. Terima kasih juga pada ibu bapa saya yang banyak menyokong saya sejak dari awal dalam sukan berbasikal.

“Begitu juga kepada jurulatih saya di Kedah dan Majlis Sukan Negara (MSN). Tidak lupa juga kepada penyokong di Malaysia yang banyak memberi kata-kata positif sebagai semangat untuk terus berjaya,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Beasley tabik prestasi pelumba di India

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley menyifatkan ‘kunjungan’ ke New Delhi bagi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 berjaya menghasilkan pencapaian yang begitu baik.

Skuad berbasikal negara pulang dari edisi kali ini dengan dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa untuk berada di tangga ketiga secara keseluruhan di belakang Jepun dan China.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti kelibat pelumba wanita yang digelar ‘The Pocket Rocketwoman’, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang berjaya menggondol dua pingat emas menerusi acara keirin dengan acara 500 (m) ujian masa.

Jelas Beasley, meskipun beberapa negara lain tidak menghantar pelumba terbaik mereka, Malaysia turut mengambil pendekatan yang sama dan ACC sememangnya adalah satu pertandingan yang sengit serta bertaraf tinggi.

“Saya rasa kita memberikan saingan yang baik dan secara keseluruhan, kita memperoleh keputusan yang sangat hebat. Kami tidak bermimpi dengan tahap yang kita ada buat masa ini walaupun kita ada pasukan yang begitu muda.

“Sasaran kita adalah untuk menyiapkan mereka bagi temasya Sukan Olimpik 2028 dan sepanjang enam hari ini, bakat yang sedang kita bangunkan dan kembangkan ini begitu menyerlah. Ada lagi yang boleh ditunjukkan jadi kita harus sentiasa konsisten.

“Saya gembira dengan persembahan ditunjukkan barisan pelumba kita dan ia dibalas dengan pingat yang kita menangi,” kata Beasley.

Dalam masa sama, Beasley juga menegaskan pencapaian di New Delhi dapat dilakar atas usaha keras yang ditunjukkan oleh pelumba negara dan ia diterjemahkan dengan pungutan pingat yang berjaya dibawa pulang.

“Kejayaan ini datang hasil proses yang baik dan usaha keras mereka selain banyak pengorbanan yang sudah dilakukan.

“Kami bertuah kerana ada pasukan hebat yang sentiasa bekerjasama dengan sangat baik,” katanya.

Selain emas acara keirin wanita dan 500 (m) ujian masa wanita, Malaysia turut memenangi perak dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta gangsa dalam acara pecut lelaki, pecut wanita dan keirin wanita.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN nafi lindungi jurulatih didakwa terbabit isu salah laku seksual

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak pernah berkompromi dan melindungi jurulatih, atlet atau pegawai yang terbabit dengan isu salah laku dalam program latihan MSN.

MSN dalam kenyataan media hari ini, menegaskan bersedia mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak dengan serta merta jika ada yang didapati bersalah.

MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan ketika ini juga sedang menjalankan siasatan dakwaan salah laku seksual seorang jurulatih para renang terhadap atlet di bawah jagaan beliau yang dilaporkan di media masa.

“Pegawai Pelindung Sukan yang diberi kuasa di bawah Kod Sukan Selamat juga sudah mengambil langkah yang perlu untuk melaksanakan siasatan berkenaan.

“Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan jawatankuasa sudah memulakan siasatan dengan segera termasuk menemubual pihak yang berkaitan.

“Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terbabit,” menurut kenyataan MSN.

Selain itu, MSN memohon kerjasama pihak media dan masyarakat umum supaya tidak mencetus sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selain mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.

MSN turut menjelaskan tidak pernah menerima laporan atau aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu itu.

“Dakwaan bahawa MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan yang pernah dibuat adalah tidak berasas sama sekali.

“MSN menjulang dan menguatkuasakan semua peraturan dalam Kod Sukan Selamat dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet yang mengikuti program latihan kendalian MSN.

“Langkah komprehensif menjaga keselamatan dan kebajikan atlet para di bawah program MSN turut dititik beratkan, termasuk mewajibkan pegawai pengiring untuk atlet yang bertanding dalam pelbagai kejohanan di luar negara bermula tahun lalu,” tambah kenyataan itu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN HORMAT KEMENTERIAN BELIA, SUKAN & PEMBANGUNAN USAHAWAN SARAWAK

Majlis Sukan Negara telah menerima Kunjungan Hormat daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawan Sarawak (MYSED) pada 27 Februari 2024 di Bukit Jalil.

Pertemuan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN bersama YBrs. Tuan Morshidi Frederick, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) itu bertujuan untuk membincangkan status terkini berkenaan Sukan Malaysia XXI yang dijadualkan berlangsung pada Ogos nanti di Bumi Kenyalang itu.

Turut hadir sama YBrs. Encik Alan ling Sie Kiong, Ahli Lembaga Pengurusan MSN dan YBrs. Encik Ariffin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah MSN (Pengurusan) dan Tuan Awang Putrayusrie Hj Awang Redzuan, Pengarah, Majlis Sukan Sarawak & CEO, Sarawak Sports Corporation.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
RM1.6 juta disalur perkasa persatuan belia, sukan – Abdul Karim

KUCHING, 27 Feb: Agihan geran tahunan berjumlah keseluruhan RM1.6 juta diserahkan kepada 43 persatuan dan pertubuhan belia dan sukan di Sarawak

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemberian geran kepada persatuan belia dan sukan itu bertujuan memperkasa pertubuhan melalui tadbir urus pelbagai program serta aktiviti tahunan mereka.

Ujar beliau, pihak persatuan harus proaktif dalam melaksanakan program atau aktiviti masing-masing.

“Saya berharap pihak persatuan-persatuan yang mendapat geran ini memberi maklum balas kepada kami. Buat satu laporan bagaimana wang tersebut digunakan. Geran tersebut merupakan duit rakyat. Kalau tidak beri laporan dan maklum balas kepada kami bagaimana kami hendak membantu anda dimasa hadapan. Setiap penyerahan geran ini akan diaudit.

“Ada sesetengah persatuan tidak menggunakan dana yang diperuntukkan dengan sebaiknya malah dana tersebut digunakan untuk membayar gaji presiden dan Ahli Jawatankuasa Persatuan. Cara lama ini harus diubah kerana ia sepertinya tidak jujur,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan 2024 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Sarawak komited dalam menjaga kebajikan atlet di negeri ini demi memastikan keperluan mereka mendapat perhatian sepenuhnya.

“Kita sememangnya perlu memperhebat pembangunan sukan di negeri kerana Sukan Malaysia (SUKMA) berbaki 170 hari sahaja lagi.

“Justeru, kita perlu menggandakan usaha untuk memantapkan lagi segala kemudahan sukan dan prasana yang diperlukan semasa SUKMA Sarawak berlangsung dan bersedia memberi layanan yang terbaik kepada semua pengunjung ke Sarawak sempena SUKMA nanti,” ujarnya. – TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Kemenangan motivasi awal tahun’

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan dunia buat kali kelapan merupakan motivasi terbaik untuk kejohanan seterusnya pada April depan.

Malah lebih mengembirakan katanya, pencapaian diraih dalam Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 yang merupakan kejuaraan pertama disertainya pada tahun ini.

“Sejujurnya bukan satu kemenangan mudah tambahan pula apabila berdepan seteru saya, Dheva Anrimusthi.

“Namun saya gembira apabila percaturan strategi memberi impak positif terutama pada set penentuan yang mengambil masa lebih sejam.

“Biarpun begitu kemenangan pertama tahun ini satu motivasi buat saya untuk melakukan persiapan lebih rapi bagi dua kejohanan seterusnya di Sepanyol pada April depan,” katanya yang turut mengandakan usaha untuk menggalas cabaran negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos ini kepada Sukan Sinar.

Di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya itu, juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) menumpaskan Anrimusthi, 21-15, 16-21, 21-15 dalam perlawanan 62 minit.

Rentak kemenangan itu kemudian diteruskan dalam acara beregu lelaki SU5 apabila beliau dan Muhammad Fareez Anuar mengalahkan wakil India, Chirag Baretha-Raj Kumar, straight set 21-17, 21-18 untuk kejuaraan berganda tahun ini.


INFO

Cheah Liek Hou

– Juara acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Para Dunia 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017, 2022 dan 2024

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!

– Juara acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Para Dunia 2005, 2007, 2011, 2013, 2015 dan 2024-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia