Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Stadium Sultan Ibrahim ganti Stadium Nasional?

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah ada pelan B sekiranya padang Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak bersedia untuk aksi menentang Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Ia susulan keadaan padang di gelanggang keramat Harimau Malaya itu masih belum dapat dipastikan selepas ia digunakan untuk konsert konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran, kelmarin.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pihaknya akan membuat lawatan ke Stadium Nasional pada awal bulan depan sebelum membuat keputusan sama ada aksi menentang Oman, 26 Mac depan dapat berlangsung di gelanggang terbabit atau sebaliknya.

Beliau berkata, FAM akan mengadakan aksi itu di gelanggang lain sekiranya padang Stadium Nasional tidak berada pada tahap terbaik.

Katanya, antara pilihan gelanggang lain termasuk gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.

“Kami akan melawat Stadium Nasional pada awal Mac untuk melihat sendiri keadaan padang. Jika keadaan tak bagus, kita akan pergi tempat lain. Kita kena tengok dulu walaupun PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) maklumkan mengenai langkah untuk memastikan padang dalam keadaan baik.

“Namun, yang pentingnya pada awal Mac kita akan tengok sama ada ia boleh digunakan untuk perlawanan 26 Mac menentang Oman atau tidak. Saya berasa kalau Bukit Jalil tak bagus, mungkin (akan main di) Stadium Sultan Ibrahim.

“Saya belum maklumkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim lagi. Kalau tak dapat, Terengganu, itu antara yang terbaik kerana Kim Pan Gon nak kualiti padang yang bagus,” katanya ketika ditemui selepas sesi Towh Hall bola sepak wanita FAM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Stadium Nasional dilaporkan akan digunakan untuk konsert Ed Sheeran dan ia mencetuskan kerisauan mengenai keadaan padang di stadium terbabit yang menjelang aksi menentang Oman.

PSM dalam kenyataan bagaimanapun menjelaskan, langkah awal sudah dilakukan termasuk memindahkan rumput seluas 1900m2 dan ia diberi jagaan intensif termasuk pengairan serta pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum.-Berita Harian