Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Penghidap Autisme, Isaac Tan atlet terpantas Malaysia

PUTRAJAYA: Atlet triatlon kebangsaan yang menghidap Autisme, Isaac Tan menepati ramalan apabila muncul atlet terpantas Malaysia bagi kategori lelaki elit di Kejohanan Triatlon Piala Asia 2024, hari ini.

Pada perlumbaan berlangsung di Kompleks Sukan Air, di sini, Isaac, 19, hampir memecahkan rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 57 minit 59 saat (s) sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-26 daripada 65 peserta yang mengambil bahagian pada edisi kali ini.

Sebagai rekod, catatan peribadi terbaik atlet berkenaan sebelum ini adalah 57.59s.

Isaac yang menggalas cabaran Malaysia ketika di Sukan Komanwel Birmingham 2022, berkata pencapaian kali ini adalah satu permulaan yang baik bagi musim 2024.

“Saya rasa sangat hebat ketika ini, pertama kali saya lihat banyak kamera yang fokus terhadap saya.

“Satu perlumbaan yang cukup emosi hari ini tetapi saya dapat beraksi baik ketika disiplin berbasikal.

“Sasaran utama musim ini adalah untuk melakukan catatan masa yang konsisten dan cuba mencatat masa bawah 56 minit. Saya perlu lakukannya jika mahu beraksi di piala benua yang lain,” katanya ketika ditemui sebaik menamatkan perlumbaan, hari ini.

Juara bagi perlumbaan kategori lelaki elit menjadi milik atlet Australia, Christopher Deegan yang menamatkan ketiga-tiga disiplin berenang, berlari dan berbasikal dengan catatan masa 53:22s.

Tempat kedua dimenangi wakil China, Fan Junjie dengan catatan 53:52s diikuti atlet Austria, Philip Pertl (54:15s).

Sementara itu, kategori wanita elit menyaksikan Esther Joy menjadi atlet Malaysia terpantas selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dengan catatan 1 jam 08:15s.

Atlet Switzerland, Julie Derron muncul juara selepas merekodkan masa 57:29s diikuti Bailie Brown dari Hong Kong kedua (59:03s) manakala wakil Swizterland, Alanis Siffert ketiga (59:35s)-Berita Harian