KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou membuktikan dirinya di landasan tepat bagi mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Ini selepas dia beraksi cemerlang untuk merangkul gelaran dunia buat kali kelapan di Kejohanan Badminton Para di Pattaya, Thailand, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas Liek Hou yang memenangi emas di Paralimpik Tokyo 2020 mengatasi musuh tradisinya dari Indonesia, Deva Anrimusthi 21-15, 16-21, 21-15 pada aksi final kategori SU5 yang berlangsung selama 62 minit.
Sebelum ini, pemain berusia 36 tahun itu turut merangkul gelaran juara pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2022.
Lebih membanggakan, Liek Hou turut beraksi cemerlang dalam acara beregu kategori yang sama apabila muncul juara bersama gandingannya, Muhammad Fareez Anuar.
Gandingan itu mengesahkan kejuaraan selepas mengetepikan cabaran pasangan India, Chirag Baretha-Raj Kumar 21-17, 21-18 pada saingan final.
Sebagai rekod, ini adalah gelaran dunia keenam Liek Hou dalam acara beregu selepas turut muncul juara pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013 dan 2015.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu lelaki, Noor Azlan Noorlan-Muhammad Ikhwan Ramli selepas tewas pada aksi final kategori WH1 dan WH2.
Mereka terpaksa akur apabila tunduk di tangan pasangan China, Mai Jianpeng-Qu Zimo 10-21, 13-21.-Berita Harian