Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jangkitan virus kecewakan Fadhil

KUALA LUMPUR: Hasrat pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk mempertahankan pingat emas dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa yang dimenangi tahun lalu tidak kesampaian selepas terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, semalam.

Pelumba berusia 26 tahun itu, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas dirinya mengalami masalah kesihatan akibat jangkitan virus.

“Selepas perbincangan dengan jurulatih dan pasukan perubatan, keputusan dibuat yang saya tidak dapat menyertai perlumbaan keirin dan 1km ujian masa. Saya mengalami jangkitan virus sekali gus tidak dapat beraksi.

“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kejuaraan dalam acara 1km ujian masa. Namun, saya akan kembali bangkit dan bersaing untuk memenanginya semula tahun depan.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan dalam kejohanan kali ini. Keutamaan saya sekarang adalah menjalani proses pemulihan,” tulis Fadhil di laman Instagram

Pada edisi tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai, Fadhil cemerlang apabila berjaya memenangi emas acara 1km ujian masa buat kali pertama dalam kerjayanya dengan merekodkan catatan masa 1 minit 00.559 saat (s).

Dia sebelum itu dua kali terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara pada edisi 2020 di Jincheon dan 2022 di New Delhi.

Pada edisi kali ini, Fadhil turut disenaraikan bagi menggalas cabaran negara dalam acara keirin bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menggantikan tempat Datuk Azizulhasni Awang yang tidak menyertai kejohanan di New Delhi itu.

Bagaimanapun, Fadhil sempat beraksi dalam acara pecut berpasukan bersama Muhammad Ridhwan Shahrom dan Umar Hasbullah dan berjaya membantu pasukan memenangi perak selepas tewas di tangan Jepun pada aksi final.-Berita Harian