Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 25, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MU pintas Liaoning, kekal rekod tanpa kalah

Kuala Lumpur: Perebutan mahkota kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) 2024 (Wanita) kian mendebarkan menjelang aksi penutup tirai Khamis ini apabila pasukan Malaysian University (MU) berjaya merampas tangga teratas liga selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan jemputan dari China, Liaoning, hari ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan MU memimpin liga dengan 20 mata selain mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lapan perlawanan manakala Liaoning pula turun satu anak tangga di tempat kedua dengan 18 mata.

Penyerang Nur Zafirah Aziz muncul wira pasukan MU kendalian Lailin Abu Hassan apabila jaringan padang seawal minit kedua sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat mereka pada aksi berlangsung di Padang 1 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini.

Keampuhan benteng pertahanan MU termasuk menghalang deretan pukulan sudut penalti dimiliki lawan dibimbing Ren Ye juga menjadi kunci utama kemenangan tersebut.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Lailin memuji komitmen tinggi anak buahnya yang mendambakan kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka menjuarai liga musim ini.

“Walaupun setiap kali kena serang tetapi pemain dapat mengurus benteng pertahanan dengan baik. Saya harap kemenangan hari ini akan bakar semangat pasukan untuk menang ke atas CS Mustang HT, Khamis ini seterusnya rangkul kejuaraan liga,” katanya kepada Bernama.

Dalam satu lagi aksi di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, jaringan hatrik Nur Amirah Jasmi Apindi pada minit ke-17, 29 dan ke-50 serta gol sumbangan Nuratyra Sajali pada minit ke-34 membantu CS Mustang HT membenam MSP-PHP-SSNP, 4-0.

CS Mustang HT kini berada di kedudukan keenam dengan sembilan mata manakala MSP-PHP-SSNP pula di tempat kesembilan dengan tiga mata.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
NSDF ROYAL BEACH CLIFF BWF PARA BADMINTON WORLD CHAMPIONSHIPS 2024

Tempat : Pattaya, Thailand

Tarikh : 20 – 26 Februari 2024

KEPUTUSAN HARI KEENAM (6)

Tarikh : 25.02.2024

Final

MS SU5

Cheah Liek Hou (MAS) WR1 / Dheva Anrimusthi (INA) WR2

(21-15 / 16-21 / 21-15)

(Won : 2 – 1)

MD WH1-2

Muhammad Ikhwan + Noor Azwan (MAS) WR6 / Mai Jian Peng + Qu Zi Mo (CHN) WR5

(10-21 / 13-21)

(Lost : 0 – 2 )

MD SU5

Muhammad Fareez + Cheah Liek Hou (MAS) WR2 / Chirag Baretha + Raj Kumar (IND) WR1

(21-17/ 21-18)

(Won : 2 – 0 )

Keseluruhan pasukan Para Badminton Malaysia berjaya membawa pulang 2🥇1 🥈

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KEJOHANAN 12TH ASIAN TRACK PARA CYCLING CHAMPIONSHIPS

Tarikh : 21 – 26 Februari 2024

Tempat : New Delhi,India

Keputusan :

Hari Keempat (24/2/2024)

Acara : Individual Pursuit (Final)

Kat : MC1

Keputusan :

Emas : Yusof Hafizi (MAS) – 4.04.629

Perak : Mohammed (KSA) – Overlapped

Acara : Individual Pursuit (Final)

Kat : MC3

Keputusan :

Emas : Adi Raimie (MAS) – 3.52.957

Perak : Tifan Abid (INA) – 4.00.724

Gangsa : Rashed Alahmari (KSA) – 4.54.790

Acara : Individual Pursuit (Final)

Kat : MC5

Keputusan :

Emas : Sufyan (INA) – 5.09.528

Perak : Zuhairie (MAS) – 5.15.696

Gangsa : Muhamad Hafiz (MAS)

Acara : Individual Pursuit (Final)

Kat : MB

Keputusan :

Emas : Hazwan/M.Arfy (MAS)

Perak : Ahlami/K.Adha – (MAS) – Overlapped

Acara : Individual Pursuit (Final)

Kat : WB

Keputusan :

Emas : Azlia /Farina (MAS) – 3.53.168

Perak : Watcharobon/Kanyarat (THA) – 4.03.025

Gangsa : Suraiya/Suhada (MAS)

Acara : Omnium Classification (Final Classification)

Kat : MC1

Keputusan :

Emas : Yusof Hafizi (MAS) – 160 mata

Acara : Omnium Classification (Final Classification)

Kat : MC3

Keputusan :

Emas : Adi Raimie (MAS) – 160 mata

Perak : Tifan Abid (INA) – 152 mata

Gangsa : Pavan Kumar (IND) – 144 mata

Acara : Omnium Classification (Final Classification)

Kat : MC5

Keputusan :

Emas : Zuhairie (MAS) – 154 mata

Perak : Janturong (THA) – 150 mata

Gangsa : Sufyan Saori (INA) – 146 mata

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ASIAN TRACK CYCLING CHAMPIONSHIPS & ASIAN TRACK JUNIOR CYCLING CHAMPIONS

21 – 26 February 2024

New Delhi India 🇮🇳

24 Feb 2024

Women Junior Point Race

Keputusan Akhir

🥇🇰🇿 – Rakhmzhan, Aruzhan

🥈🇰🇷 – Bae, Yeeun

🥉🇲🇾 – Intan Nur Idrisha

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nurul Izzah raih emas keirin ACC

KUALA LUMPUR: Pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan dirinya layak bergelar ‘The Pocket Rocketwoman’ selepas memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi itu, Nurul Izzah, 21, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat.

Dia mengatasi pencabar terdekatnya dari China, Tong Mengqi yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala gangsa acara itu menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi.

Sebagai rekod, emas yang dimenangi Nurul Izzah, hari ini adalah pingat peribadi ketiganya dalam kejohanan kali ini selepas meraih perak dalam acara pecut berpasukan bersama Anis dan Nur Aliana Syafika Azizan selain gangsa bagi acara pecut individu.

Sementara itu, acara keirin lelaki menyaksikan hanya seorang pelumba negara layak beraksi di pentas final iaitu Muhamad Ridwan Sahrom tetapi dia gagal meraih pingat apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Sandaran negara yang juga abang kepada Ridwan, Muhammad Shah Firdaus berdepan nasib malang apabila gagal ke final yang menyaksikan dia terpaksa bersaing dalam penentuan tempat ketujuh hingga ke-12 dan menamatkan aksi di kedudukan kelapan.

Emas acara itu menjadi milik pelumba Jepun, Kento Yamasaki diikuti Li Zhiwei dari China yang merangkul perak manakala gangsa dimenangi pelumba Hong Kong, Yung Tsun Ho.

Dalam pada itu, saingan kategori para menyaksikan gandingan negara, Ahmad Ahlami Mohamad-Khairul Adha Rasol (jurumudi) meraih emas selepas menewaskan rakan sepasukan Khairul Hazwan Wahab-Arfy Qhairant Amran (juru terbang) dalam final pecut tandem (B) lelaki.

Malaysia turut meraih emas dalam acara pecut tandem (B) wanita menerusi Nur Azlia Syafinaz Zais-Farina Shawati Adnan (jurumudi) yang menewaskan Nur Suraiya Zamri-Nurul Suhada Zainal (juru terbang) dalam final yang turut membabitkan perhitungan antara dua wakil negara.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jangkitan virus kecewakan Fadhil

KUALA LUMPUR: Hasrat pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk mempertahankan pingat emas dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa yang dimenangi tahun lalu tidak kesampaian selepas terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, semalam.

Pelumba berusia 26 tahun itu, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas dirinya mengalami masalah kesihatan akibat jangkitan virus.

“Selepas perbincangan dengan jurulatih dan pasukan perubatan, keputusan dibuat yang saya tidak dapat menyertai perlumbaan keirin dan 1km ujian masa. Saya mengalami jangkitan virus sekali gus tidak dapat beraksi.

“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kejuaraan dalam acara 1km ujian masa. Namun, saya akan kembali bangkit dan bersaing untuk memenanginya semula tahun depan.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan dalam kejohanan kali ini. Keutamaan saya sekarang adalah menjalani proses pemulihan,” tulis Fadhil di laman Instagram

Pada edisi tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai, Fadhil cemerlang apabila berjaya memenangi emas acara 1km ujian masa buat kali pertama dalam kerjayanya dengan merekodkan catatan masa 1 minit 00.559 saat (s).

Dia sebelum itu dua kali terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara pada edisi 2020 di Jincheon dan 2022 di New Delhi.

Pada edisi kali ini, Fadhil turut disenaraikan bagi menggalas cabaran negara dalam acara keirin bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menggantikan tempat Datuk Azizulhasni Awang yang tidak menyertai kejohanan di New Delhi itu.

Bagaimanapun, Fadhil sempat beraksi dalam acara pecut berpasukan bersama Muhammad Ridhwan Shahrom dan Umar Hasbullah dan berjaya membantu pasukan memenangi perak selepas tewas di tangan Jepun pada aksi final.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao harap tersenarai ke Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap namanya akan disenaraikan dalam skuad bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan.

Pemain ranking ke-36 dunia itu berkata persembahan yang ditampilkan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), minggu lalu diharap boleh memikat barisan kejurulatihan bagi membawanya ke Chengdu.

Jun Hao disenaraikan pada saat akhir pada saingan BATC tahun ini bagi menggantikan Justin Hoh yang mengalami kecederaan.

Pemain berusia 24 tahun itu nyata tidak mengecewakan apabila dia menang semua perlawanan kecuali ketika aksi separuh akhir menentang pemain Jepun, Koki Watanabe dan final bertemu wakil China, Weng Hong Yang

Malah, dia memikul tugas selaku perseorangan pertama ketika berdepan Hong Yang susulan masalah kesihatan dan kecederaan dialami dua pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.

“Sudah tentu saya berharap selepas saingan BATC, saya boleh menampilkan aksi lebih meyakinkan serta konsisten. Saaya mahu teruskan rentak permainan seperti ini.

“Selain itu, saya juga meletakkan harapan supaya apa yang ditampilkan pada BATC boleh membantu saya untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas nanti,” kata bekas juara remaja Asia 2017 itu.

Jun Hao selepas ini akan mengalihkan fokus bagi menghadai saingan Masters Orleans di Perancis yang dijadual bermula dari 12 hingga 17 Mac ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Penghidap Autisme, Isaac Tan atlet terpantas Malaysia

PUTRAJAYA: Atlet triatlon kebangsaan yang menghidap Autisme, Isaac Tan menepati ramalan apabila muncul atlet terpantas Malaysia bagi kategori lelaki elit di Kejohanan Triatlon Piala Asia 2024, hari ini.

Pada perlumbaan berlangsung di Kompleks Sukan Air, di sini, Isaac, 19, hampir memecahkan rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 57 minit 59 saat (s) sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-26 daripada 65 peserta yang mengambil bahagian pada edisi kali ini.

Sebagai rekod, catatan peribadi terbaik atlet berkenaan sebelum ini adalah 57.59s.

Isaac yang menggalas cabaran Malaysia ketika di Sukan Komanwel Birmingham 2022, berkata pencapaian kali ini adalah satu permulaan yang baik bagi musim 2024.

“Saya rasa sangat hebat ketika ini, pertama kali saya lihat banyak kamera yang fokus terhadap saya.

“Satu perlumbaan yang cukup emosi hari ini tetapi saya dapat beraksi baik ketika disiplin berbasikal.

“Sasaran utama musim ini adalah untuk melakukan catatan masa yang konsisten dan cuba mencatat masa bawah 56 minit. Saya perlu lakukannya jika mahu beraksi di piala benua yang lain,” katanya ketika ditemui sebaik menamatkan perlumbaan, hari ini.

Juara bagi perlumbaan kategori lelaki elit menjadi milik atlet Australia, Christopher Deegan yang menamatkan ketiga-tiga disiplin berenang, berlari dan berbasikal dengan catatan masa 53:22s.

Tempat kedua dimenangi wakil China, Fan Junjie dengan catatan 53:52s diikuti atlet Austria, Philip Pertl (54:15s).

Sementara itu, kategori wanita elit menyaksikan Esther Joy menjadi atlet Malaysia terpantas selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dengan catatan 1 jam 08:15s.

Atlet Switzerland, Julie Derron muncul juara selepas merekodkan masa 57:29s diikuti Bailie Brown dari Hong Kong kedua (59:03s) manakala wakil Swizterland, Alanis Siffert ketiga (59:35s)-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Liek Hou juara dunia kali kelapan

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou membuktikan dirinya di landasan tepat bagi mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Ini selepas dia beraksi cemerlang untuk merangkul gelaran dunia buat kali kelapan di Kejohanan Badminton Para di Pattaya, Thailand, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas Liek Hou yang memenangi emas di Paralimpik Tokyo 2020 mengatasi musuh tradisinya dari Indonesia, Deva Anrimusthi 21-15, 16-21, 21-15 pada aksi final kategori SU5 yang berlangsung selama 62 minit.

Sebelum ini, pemain berusia 36 tahun itu turut merangkul gelaran juara pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2022.

Lebih membanggakan, Liek Hou turut beraksi cemerlang dalam acara beregu kategori yang sama apabila muncul juara bersama gandingannya, Muhammad Fareez Anuar.

Gandingan itu mengesahkan kejuaraan selepas mengetepikan cabaran pasangan India, Chirag Baretha-Raj Kumar 21-17, 21-18 pada saingan final.

Sebagai rekod, ini adalah gelaran dunia keenam Liek Hou dalam acara beregu selepas turut muncul juara pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013 dan 2015.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu lelaki, Noor Azlan Noorlan-Muhammad Ikhwan Ramli selepas tewas pada aksi final kategori WH1 dan WH2.

Mereka terpaksa akur apabila tunduk di tangan pasangan China, Mai Jianpeng-Qu Zimo 10-21, 13-21.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS ketatkan larangan penajaan babitkan syarikat rokok, vape

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengetatkan lagi peraturan membabitkan penajaan dalam sesuatu acara sukan bagi memastikan ia tidak ditaja oleh syarikat rokok dan rokok elektronik atau vape.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata persatuan sukan dan belia sedar kementerian melarang syarikat rokok dan vape daripada menjadi penaja dalam acara sukan.

“Sebab itu, saya sudah minta pegawai undang-undang kita untuk melihat apa yang kita boleh lakukan untuk mengetatkan lagi proses ini.

“Ini kerana kita bukan saja mahu wujudkan satu persekitaran yang selamat untuk peserta tetapi juga untuk yang datang menonton.

“Kalau syarikat rokok dan vape boleh datang dan jual produk mereka, ibu bapa tidak akan menghantar anak mereka ke program seperti ini. Sebab itu, KBS memang tidak membenarkan menjadi penaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan peserta di Kejohanan Triathlon Piala Asia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata penonton akan diperiksa apabila menghadiri semua acara sukan yang dianjurkan di venue atau fasiliti sukan milik KBS dan jika mereka didapati membawa rokok atau vape ia akan dirampas.

“Saya tahu dalam sektor industri sukan, ramai sedang mencari penaja dan bukan senang untuk mendapat penaja sebenarnya dan kos penganjuran adalah tinggi.

“Namun, kita tidak boleh berkompromi dalam perkara ini kerana ia membabitkan isu kesihatan dan keselamatan. Jika kita membenarkannya, ia akan menghantar mesej yang salah.

“Kami akan menghantar surat tunjuk sebab kepada persatuan yang terbabit dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan yang sudah kami ambil,” katanya.

Pada Rabu lalu, tular di media sosial berkenaan penganjuran satu acara sukan berlangsung pada 17 dan 18 Februari yang mendapat tajaan daripada syarikat vape.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia